Sukan Hari Ini

‘Elok Beri Kepada Orang Lebih Mahir’

KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memberi bayangan tidak mahu memegang jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) berikutan kesibukan tugasnya mentadbir negeri.

Mohd Shafie yang sebelum ini diminta oleh pelbagai pihak supaya mempertimbangkan tawaran untuk menerajui SAFA menegaskan, persatuan itu perlu dipimpin oleh individu berkelayakan dan mempunyai masa yang cukup untuk memberi tumpuan penuh terhadap kemajuan bola sepak negeri.

“Bagi saya, elok rasanya jawatan itu diberikan kepada orang yang lebih mahir dan berkeupayaan supaya dia dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada SAFA. Bukan hanya orang yang mempunyai pandangan (visi), tetapi masa yang cukup,” katanya, sebagaimana dilaporkan Harian Metro.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Kejohanan Sukan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) Malaysia 2018 di Dewan Kompleks Sukan Likas di Kota Kinabalu, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata, beliau akan bertemu dengan pengurusan SAFA untuk memberi panduan bagaimana memastikan supaya sukan bola sepak dapat dimajukan serta dibangunkan oleh individu yang mempunyai komitmen serta idea baharu.

“Bola sepak di Sabah ini menjadi sukan pilihan semua lapisan masyarakat. Ia bukan hanya pilihan orang muda, malah orang berusia seperti saya juga gemarkan sukan ini,” katanya.

Sebelum ini, pengurus skuad Liga Perdana Sabah, Datuk Juil Nuatim, berharap Mohd Shafie mempertimbangkan tawaran untuk menerajui SAFA selepas bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman meletakkan jawatan sebagai presiden susulan peralihan kuasa kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Juil dilaporkan berkata, seorang pemimpin yang berkemampuan seperti Mohd Shafie sangat diperlukan oleh SAFA ketika ini.

Tugas presiden SAFA kini dipangku Naib Presiden, Datuk Yusof Kassim sehinggalah badan induk bola sepak Sabah itu mengadakan kongresnya yang dijadualkan pada 11 Ogos ini.

Antara agenda utama kongres itu nanti ialah mengisi jawatan presiden, dua timbalan presiden dan seorang naib presiden.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");