Perak Hari Ini

Ibu Bapa Sambut Baik Penggunaan Kasut Sekolah Hitam

IPOH: Rata-rata ibu bapa yang mempunyai anak di bangku sekolah menyambut baik keputusan Kementerian Pendidikan untuk membenarkan anak pelajar memakai kasut berwarna hitam mulai sesi persekolahan tahun hapadan.

Ibu kepada tiga anak, Zuraini Ammar, 44, berkata perkara itu akan menjimatkan perbelanjaan dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anaknya.

“Kasut sekolah berwarna putih ini semakin lama, warnanya mula kusam. Ditambah pula anak sulung saya, di Tingakatan Satu, yang aktif dan agak lasak. Kotoran yang selalu melekat pada kasut kadang-kadang sukar ditanggalkan.

“Mereka sudah pasti mahu kelihatan kemas. Paling tidak pasti ada yang mahukan kasut baharu dan ini agak memeningkan ibu bapa,” katanya kepada Perak Today, di sini, hari ini.

Bagi Nur Fatimah Shamsuddin, 42, penggunaan kasut hitam ini juga sedikit sebanyak dapat memudahkan urusan membersihkan kasut sekolah khususnya buat anak-anak.

“Kita tahu yang dalam hendak memastikan kebersihan kasut berwarna putih bukan perkara mudah.

“Walaupun kasut hitam tak mudah nampak kotor tetapi hanya dibasuh sekurang-kurangnya seminggu sekali atau dua sudah mencukupi,” jelasnya.

Selain itu, menurut seorang kakitangan awam, Mohd Bakri Salahuddin, 47, penggunaan kasut hitam juga boleh membantu mengelakkan rasa perbezaan taraf hidup latar belakang yang ketara dikalangan murid.

“Mungkin ada sesetengah ibu bapa yang kurang berkemampuan untuk membeli kapur kasut putih secara kerap. Apabila ia habis mungkin mereka sekadar mampu membasuhnya dengan air ataupun sabun.

“Sudah tentu kasut yang dikapur dengan tidak dikapur putih perbezaan warnanya ketara. Dan ini mungkin dapat melemahkan semangat anak-anak yang datang daripada keluarga susah untuk belajar,” ujarnya.

Tambahnya, penggunaan kasut berwarna hitam sekurang-kurangnya mampu mengelakkan murid tersebut terus berasa terpinggir dengan rakan-rakanya lain yang akhirnya akan memberi kesan kepada prestasinya di sekolah.

Pada masa sama, bapa kepada seorang anak di Tahun Enam, Syed Mohd Alif Syed Baharom, 42 tidak setuju dengan pandangan yang mengaitkan penggunaan kasut putih dengan pembentukkan disiplin murid.

“Ada banyak perkara lain yang boleh membentuk disiplin anak-anak. Ia bukan sekadar memutihkan kasut. Jika kasutnya putih tetapi diwaktu malam bebas bekeliaran, berbasikal tanpa tujuan, melepak dan sebagainya juga tiada guna,” tegasnya.

Baru-baru ini, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, kementerian sudah memutuskan untuk membenarkan semua pelajar sekolah rendah dan menengah memakai kasut hitam.

Walau bagaimanapun, kementerian juga memberi kelonggaran selama setahun kepada semua pihak bagi melaksanakan peraturan tersebut di semua sekolah kerajaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");