Panasnya Hari Ini

‘Ini Sebab Kenapa Pas Keluar Dewan’

KUALA LUMPUR- Pas menyatakan bahawa tindakan ahli Parlimen mereka bertindak keluar Dewan Rakyat hari ini, berpunca daripada tatacara pemilihan Yang di Pertua Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata, Pas berpandangan pemilihan Tuan Yang di Pertua Dewan Rakyat tidak memenuhi Peraturan Mesyuarat 4 (1).

Katanya, peraturan berkenaan jelas mensyaratkan pemberitahuan kepada Setiausaha Dewan Rakyat “dengan bersurat sekurang-kurangnya empat belas hari sebelum hari mesyuarat”.

“Hal ini kerana kenyataan media oleh beberapa pimpinan Pakatan Harapan (Harapan) termasuk menteri-menteri menunjukkan pada dua Julai iaitu 14 hari sebelum sidang hari ini tiada keputusan lagi di pihak kerajaan Harapan untuk menamakan Yang di Pertua Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini lapor Sinar Harian.

Pada persidangan Dewan Rakyat pagi tadi berlaku sedikit ketegangan apabila ahli Parlimen BN dan Pas keluar Dewan Rakyat sebagai tanda boikot pelantikan Speaker Dewan Rakyat baharu, Datuk Mohd Ariff Md Yusof.

Protes ini tercetus kerana pelantikan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof sebagai Speaker Dewan Rakyat ke-9 pada hari ini menggantikan Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Mengulas lanjut, katanya, meskipun Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Hamzah ketika berucap menyebut bahawa cadangan sebagai Yang di Pertua Dewan Rakyat telah dihantar secara bertulis pada dua Julai 2018, namun ia tidak disokong oleh fakta-fakta kenyataan Menteri-menteri dalam isu terbabit.

“Pas menegaskan bahawa peraturan mesyuarat Dewan Rakyat perlu dipatuhi apatah lagi melibatkan pemilihan YDP kerana ia melibatkan keabsahan sidang Dewan Rakyat untuk seterusnya,” katanya.

Jelasnya, Pakatan Harapan perlu menonjolkan contoh permulaan yang baik di awal sidang Dewan Rakyat sebagai memenuhi tuntutan mereka selama menjadi pembangkang sebelum ini agar kerajaan mengikut segala peraturan mesyuarat.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");