Perak Hari Ini

Isu Speaker: Nizar Mohon Kemaafan Siti Aishah

IPOH: Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, memohon maaf kepada Ketua Srikandi PKR, Siti Aishah Shaik Ismail jika ada perkara yang menyinggung perasaannya berhubung isu perlantikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Sambil menyifatkan isu itu sudah selesai, Mohammad Nizar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat berkata, beliau turut menyokong pandangan yang dilontarkan Siti Aishah untuk menarik diri daripada dicalonkan sebagai Speaker DUN dan terus memberikan perkhidmatan kepada rakyat Perak.

“Kita boleh baca kenyataan beliau (Siti Aishah) dalam akhbar hari ini. Terima kasih kepada beliau dan saya doakan mudah-mudahan Siti Aishah dapat meneruskan perjuangan dan itu (kenyataannya dalam Facebook) barang kali adalah pendirian peribadinya.

“Saya sokong pandangan dia untuk tarik diri dan memberikan perkhidmatan pada rakyat Perak dan teruskan bekerja dengan baik.

“Saya sangat menghargainya dan mohon maaf jika ada perkara yang tidak elok atau tidak sihat (dalam isu itu), saya mohon maaf pada SASI (Siti Aishah). Teruskan perjuangan dan pastikan Pakatan Harapan (PH) dapat melaksanakan semua bidang dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Inisiatif Hijau anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Pusat Pengurusan Pelaburan Perak (Invest Perak) di Pusat Konvensyen Aman Jaya di sini, hari ini.

Siti Aishah dalam kenyataan rasminya semalam mengakui menarik diri daripada dicalonkan sebagai Speaker DUN selepas dicalonkan oleh PKR kerana DAP bertegas mahukan jawatan itu dan turut mengesahkan sudah hadir ke pejabat Setiausaha DUN bagi tujuan menandatangani surat penarikan diri daripada pencalonan berkenaan.

Siti Aishah turut meluahkan rasa terkilannya berhubung perkara itu menerusi kiriman di Facebook yang menjelaskan mengapa beliau terpaksa mengambil tindakan menarik diri, termasuk menyebut nama Mohammad Nizar.

Status berkenaan kemudian dipadamkan, namun ia menjadi viral.

Pada Sidang DUN Perak semalam, Ahli Parlimen Beruas yang juga Penasihat DAP negeri, Datuk Ngeh Koo Ham dipilih sebagai Speaker.

Sementara itu, bercakap mengenai seminar itu, Mohammad Nizar berkata, kerajaan negeri sangat mengalu-alukan usaha itu yang diwakili pelbagai pakar dalam negara berkongsi kepakaran, pandangan dan pengalaman dalam bidang teknologi hijau.

Katanya, dengan kekayaan hasil yang ada di Perak, kerajaan sangat berharap ia akan membantu negeri melonjakkan penggunaan teknologi hijau.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");