Perak Hari Ini

Jatuh Cinta Pada ‘Hot Wheels’

IPOH:Koleksi mainan ‘Hot Wheels’ atau model kenderaan berskala kecil pastinya sudah tidak asing lagi buat anda malah ramai yang sanggup berhabis wang dan masa bagi memastikan hobi mengumpul kereta mainan ini selain memenuhi kepuasan tersendiri bagi si pengumpul.

Peraktoday berpeluang menemui seorang peminat dan pengumpul kereta hot wheels yang sudi berkongsi minatnya itu bersama para pembaca hingga kini koleksinya mencecahkan puluhan jenis kereta.

Noriznina Ismail, ibu kepada dua cahaya mata bukan sahaja minat mengumpul koleksi tersebut, sebaliknya suaminya merupakan peminat tegar mainan itu.

Noriznina yang lebih mesra dipanggil Nina berkata, pada awalnya dia hanya sekadar ‘terapi jiwa’ dan mengalihkan perhatian apabila berhadapan dengan masalah bermula sekitar tahun 2014.

setiap hujung minggu pastinya menjadi masa terbaik untuk mencari koleksi terbaru

“Minat terhadap kereta mainan ini memang sejak kecil lagi tetapi ketika itu hidup sederhana jadi tidak mampu memilikinya tetapi sejak tahun 2014 ada sedikit masalah saya mula berminat mengumpul sekadar untuk ‘ubat’ dan keseronokan buat saya,” katanya.

Jelas Nina lagi bukan jenis model yang diberi perhatian sebaliknya reka bentuk dan rupanya yang unik telah menjadikan aktiviti mengumpul mainan itu sebagai hobi.

antara model yang disukai

Menurutnya,model jenis Fifty Camaro menjadi ‘hot wheels’ pertama dibelinya dan model Honda Civic ef kini menjadi koleksi kesayangannya hingga ke hari ini.

Hanya Beli Ikut Kemampuan

Pastinya ada yang menganggap hobi itu sebagai pembaziran, tetapi ia sebenarnya menyeronokkan dan mampu menghilangkan tekanan.

Jelas Nina yang juga merupakan seorang jururawat, dia dan suami akan berbelanja dan mencari koleksi kereta mengikut kemampuan dan tidak memikirkan soal jenis dan modelnya.

 

“Mengumpul Hot Wheels adalah satu kepuasan dan semasa suami saya mengalami kemalangan kecil yang memerlukan terapi jadi hobi mengumpul ini seolah mengalihkan tumpuan untuk kuat melawan sakit tersebut.

“Saya bukannya mengumpul jenis model yang mencecah ratusan ringgit sekadar suka-suka jadi kami hanya membeli ikut jenis yang diingini dan cantik di mata,” katanya.

Katanya lagi, kini koleksi kereta juga digunakan oleh mereka sekeluarga dan anak-anaknya juga minat bermain kenderaan kecil ini dengan adanya tikar bercorak seperti jalan raya yang disediakan olehnya dan suami.

Tambahnya lagi walaupun mainan itu mudah didapati di pasar raya dan kedai tertentu, namun pemilihan adalah mengikut keinginan sendiri, bahkan ada model yang sukar diperoleh.

“Ada model yang ada di atas jalan raya dan ada juga yang pelik. Ia boleh didapati serendah RM4.50 untuk setiap model, tetapi boleh mencecah sehingga RM80 jika jarang ditemui.

“Kalau ikutkan koleksi yang saya miliki sekarang nilainya mencecah ribuan ringgit, tetapi bukan beli sekali gus. Setakat ini saya tak sasar berapa banyak akan saya kumpul. Saya juga rasa ia bukan pembaziran, kita beli ikut kemampuan.

“Jika diberi pilihan memilih alat solek atau hot wheels pastinya koleksi kereta ini yang saya pilih,” katanya dalam nada gurauan.

Masih Terus Mengumpul

Pasar Karat Loken Ipoh hingga ke pasaraya juga stesen minyak antara ‘port’ bagi pengumpul ‘Hot Wheels’ mencari koleksi model kereta yang disukai mereka begitu juga dengan Nina.

Setiap Hari Ahad pastinya lokasi pasar karat dijadikan ‘lubuk’ mencari jenis model terkini dengan harga yang berpatutan malah terdapat beberapa peniaga di pasar tersebut mempunyai pelanggan tetap tersendiri.

“Saya selalu hanya pergi mencari koleksi ini di pasaraya dan paling mudah di stesen minyak kadang kala dapat yang unik,” katanya.

Nina mengakui masih belum mahir dalam proses penjagaan koleksinya itu kerana sehingga kini sebilangan besar keretanya itu hanya diletakkan didalam bekas tertutup sahaja serta masih belum dibuka bungkusannya.

 

“Saya ingin sediakan satu bilik khusus untuk koleksi ini untuk saya letakkan dalam ruangan khas supaya nampak kemas dan cantik dan menjadi ruangan saya bersama anak-anak,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");