Berita Hari Ini

Kahwin Bawah Umur: JKSM Telah Siapkan SOP

PUTRAJAYA: Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah siap menggariskan Prosedur Operasi Standard (SOP) sebagai panduan kepada hakim sebelum membenarkan perkahwinan bawah umur diteruskan.

Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rodziah Ismail berkata, sebelum ini tiada SOP yang diguna pakai oleh semua negeri sebagai panduan.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengulas lanjut mengenai SOP berkenaan kerana perkara itu tidak terletak di bawah bidang kuasa kementerian itu.

“Kami dimaklumkan, penetapan SOP oleh JKSM adalah bagi memperketatkan lagi kelulusan perkahwinan bawah umur untuk umat Islam.

“SOP ini bukanlah di bawah bidang kuasa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tetapi di bawah JKSM.

“Sebarang kenyataan lanjut berkenaan isu ini perlulah dirujuk kepada pihak JKSM,” tambahnya lagi lapor Astro Awani.

Rodziah menjelaskan, undang-undang berkaitan perkahwinan bawah umur bagi yang beragama Islam berada di bawah bidang kuasa Enakmen Islam Negeri.

“Ia memberikan sepenuh kuasa dan budi bicara bagi perkahwinan di bawah umur kepada Hakim dan Mahkamah Syariah,” ujar beliau.

Kerajaan bagaimanapun komited menaikkan had umur minima perkahwinan daripada 16 tahun kepada 18 tahun.

“Walaupun SOP akan diwujudkan, komitmen kerajaan untuk menaikkan had umur minima perkahwinan bawah umur 18 tahun masih diteruskan,” ujarnya.

SOP itu diwujudkan susulan kontroversi perkahwinan seorang kanak-kanak perempuan warga Thailand berusia 11 tahun dengan seorang lelaki tempatan berumur 41 tahun yang tular di media sosial ketika ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");