shadow

PENYANYI Aizat Amdan memberitahu single baharunyaa berjudul Harapan Menjadi Nyata adalah nukilan bapanya kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad atau Tun M.

Aizat, 29, berkata, bapanya iaitu Datuk Amdan Mat Din terlalu mengagumi kepimpinan Tun M dan menganggap negarawan itu sebagai idola sejak bergelar Perdana Menteri ke-4 lagi.

“Ayah saya selalu bercakap tentang Tun M dalam setiap topik perbualannya. Buku-buku tentang Tun semua dia ada.

“Selepas dia bersara tujuh tahun lalu dia ada banyak masa untuk tulis luahan hati kepada idolanya itu dan minta saya cari melodi untuk dijadikan lagu.

“Jadi, inilah lagunya khas untuk memberi penghormatan kepada Tun M yang sudah berjasa kepada Malaysia begitu lama,” ujarnya kepada mStar Online.

Aizat ditemui pada majlis pelancaran single berkenaan yang diadakan di Menara TSR, di sini, Isnin.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Jangan Menangis ini berkata, keadaan kesihatan bapanya terjejas sejak diserang strok setahun lalu.

Katanya, bahagian kanan badan bapanya lumpuh dan hanya mampu menggerakan tangan dan kaki kiri sahaja.

Tambah Aizat, dia pasti bapanya antara individu yang gembira dengan kemenangan Tun M dan dipilih menjadi Perdana Menteri sekali lagi.

“Saya tidak sangka Tun M akan naik sebagai Perdana Menteri untuk kali kedua. Sayangnya ayah saya sakit kalau tidak dia tentu gembira.

“Kalau bukan sebab sakit saya pasti ayah saya antara yang aktif menyokong kepimpinan Tun. Dia akan ikut ke mana-mana Tun pergi walaupun berdiri hanya dari jauh sahaja,” ujarnya.

Dalam pada itu, Aizat berkata, lagu Harapan Jadi Nyata pernah dinyanyikan bersama penyanyi Suki Low dan Lorence Soosai dalam sebuah majlis penghormatan buat Tun M pada tahun 2011.

Namun, ia tidak dirakam dan dikeluarkan secara rasmi.

“Sebenarnya kami tak rancang pun nak keluarkan lagu berunsur politik. Tapi selepas mendapat kerajaan baru pada 10 Mei lalu, keadaan dan susana negara berubah.

“Jadi saya fikir sangat sesuai untuk single ini dikeluarkan secara rasmi sebagai tribute untuk kita ingat selama-lamanya,” ujarnya.

Aizat berkata single ini bukan sahaja menjadi tanda penghormatan buat Tun M, tetapi juga hadiah ulang tahun perdana menteri itu yang ke-93 pada Selasa (hari ini)

Komen & Pendapat