Berita Hari Ini

Kastam Janji Kurangkan Jurang Pendapatan SST, GST

PUTRAJAYA – Kastam Diraja Malaysia berjanji akan mengurangkan jurang perbezaan hasil antara cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Ia diikrarkan oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Seri T Subromaniam ketika kali pertama melapor diri kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Menurutnya, umum mengetahui jurang pendapatan menerusi SST rendah berbanding GST dan Kastam akan mencari pertambahan pendapatan.

“Apa yang saya janjikan kepada beliau adalah kita akan kurangkan jurang cukai yang ada dan mencari tambahan RM3 bilion daripada kehilangan hasil import export. Jumlah sebenar saya tidak boleh cakap,” katanya pada program Breakfast Talk Integriti yang mengupas isu Membanteras Hasil Ketirisan Negara di sini, hari ini lapor Sinar harian.

Beliau berkata, Guan Eng turut bertanyakan mengenai kehilangan hasil cukai, namun angka itu tidak didedahkan kepada umum.

“Saya akui kepada menteri bahawa kita menghadapi masalah integriti. Sekiranya berselindung, kita tidak akan berjumpa jalan penyelesaiannya,” katanya.

Justeru katanya, Kastam akan terus ke hadapan dan mengatur strategi bagi menampung kehilangan hasil daripada pemansuhan GST.

“Dari aspek pematuhan GST, Kastam turut mengakui terdapat banyak syarikat yang tidak berikrar dengan benar,” katanya.

Sehubungan itu, Subromaniam berkata, pihaknya akan membuat audit dalaman untuk mendapatkan jumlah tertentu.

“Ini sedikit sebanyak akan membantu kerajaan untuk mengurangkan perbezaan antara GST dan SST,” katanya.

Menurutnya, Kastam perlu bersedia daripada sekarang bagi menggalas tanggungjawab besar itu.

“Saya akan keluarkan keputusan polisi dalam masa terdekat ini mengenai langkah seterusnya dalam memantapkan lagi hasil negara,” katanya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil dan Presiden Transparency International Malaysia, Datuk Akhbar Satar yang menjadi panel program itu.

Breakfast Talk Integriti dikendalikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Integriti Malaysia, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin sebagai moderator.

Dalam program itu, Subromaniam turut mendedahkan, persepsi World Bank terhadap Malaysia jatuh sejak 2016.

“Dua tahun berturut- turut ranking negara pada 2016 berada di kedudukan 18 dan jatuh ke tangga 23 pada tahun 2017,” katanya.

Pada 2018, Malaysia jatuh lagi satu anak tangga,” katanya yang menjelaskan laporan itu menunjukkan keadaan sebenar dua tahun sebelum ia dikeluarkan.

Menurutnya, Kastam terlibat secara langsung dalam komponen laporan berkenaan berdasarkan dua indikasi iaitu pembayaran cukai dan eksport import.

“Pelepasan Kastam dalam laporan ini agak kurang memuaskan terutamanya pelepasan dagangan yang dibuat secara manual sekali gus secara asasnya membuatkan ranking itu jatuh,”katanya.

Beliau berkata, penyelesaian terhadap isu telah dilakukan namun ia belum dijalankan sepenuhnya.

“Harapan saya, kita ada sedikit peningkatan pada laporan 2019,”katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");