Perak Hari Ini

Menteri Tak Tolak Kemungkinan Bawa Isu Bubu Naga Ke Kabinet

MANJUNG: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memandang serius terhadap penggunaan bubu naga yang dilaporkan masih berleluasa di negara ini, termasuk di Perak.

Menterinya, Salahuddin Ayub berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan isu itu akan dibawa ke peringkat kabinet selain mengusulkan tindakan bersepadu dengan kementerian serta agensi lain seperti Pasukan Gerakan Marin (PGM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Jelasnya, peringkat awal beliau akan mengadakan perbincangan diperingkat kementerian itu bagi mendapatkan maklumat lanjut terhadap masalah berkenaan.

Ujar Salahuddin, di kawasan perairan Pantai Remis sahaja terdapat sekitar 80 nelayan yang dikesan menggunakan bubu tidak berlesen itu dan ianya dikatakan berlarutan sejak dua tahun.

“Saya tidak mahu isu ini berpanjangan. Setiap kali lawatan, ataupun pertemuan dengan nelayan, mereka akan membangkitkan isu ini.

“Kita harus meletakkan tempoh masa yang jelas dan penguatkuasaan perlu tindakan untuk kita mengatasi masalah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Program Interaksi Bersama Nelayan di  Jeti Projek Pemasaran Ikan Dana Nelayan, Manjung Utara, dekat sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Dr Bah Piyan Tan serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Remis, Wong May Ing.

Selain itu, tambah Salahuddin, selain di Perak, antara negeri yang turut mengalami masalah sama ialah di Johor, Kedah dan Perlis.

Katanya, keberadaan bubu naga yang diletakkan pada jarak bawah 5 batu nautika tersebut mengancam mata pencarian para nelayan tradisional dan pengusaha bot-bot kecil.

“Mungkin ini ada kartel, kumpulan ataupun pihak yang mengusahakan ia secara haram. Ini kerajaan perlu bertindak,” tegasnya.

Pada perkembangan sama, beliau turut menyeru kepada nelayan di negara ini agar menjaga etika dan disiplin semasa berada di laut selain memastikan bot-bot mereka tidak melepasi kawasan perairan antarabangsa.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");