Berita Hari Ini

Mukhriz Tarik Balik Saman Lepas Bekas Pembantu Najib Mohon Maaf

Bekas setiausaha akhbar kepada Datuk Seri Najib Razak, Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad, hari ini memohon maaf kepada menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir atas dakwaan berkomplot untuk menjatuhkan kerajaan BN dua tahun lalu.

Kenyataan Sariffuddin dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.

“Saya memohon maaf dan menyatakan penyesalan atas empat kenyataan yang dikeluarkan yang tidak tepat dan boleh disalah tafsir,” katanya.

Mukhriz yang juga pemimpin BERSATU memfailkan saman terhadap Shariffuddin kerana memfitnahnya pada tahun 2016 berhubung empat kenyataan akhbar yang dikeluarkan, yang mendakwa antara lain beliau bersubahat dengan bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjatuhkan kerajaan BN dan menjadi perdana menteri.

Berikutan permohonan maaf itu, peguam Mohd Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Mukhriz berkata anak guamnya akan menarik balik saman itu tanpa kebebasan untuk memfailkannya semula.

“Tiada perintah dibuat untuk kos penarikan balik,” katanya yang kemudian disahkan oleh peguam Sariffuddin, Jahaberdeen Mohd Yunos.

Empat kenyataan itu dibuat antara 15 April hingga 26 April 2016.

Sariffuddin melahirkan rasa kesal atas implikasi negatif yang disebabkan oleh kenyataan yang dikeluarkannya.

Beliau dalam pada itu turut mengucapkan tahniah kepada Mukhriz kerana dilantik sebagai menteri besar Kedah pada pilihan raya umum ke-14 lalu dan berharap timbalan presiden BERSATU itu akan menjalankan tugas dengan sebaiknya.

“Saya berharap Mukhriz akan menerima permintaan maaf saya dan penarikan penuh dan kandungan semua kenyataan yang dibuat,” katanya.

Mukhriz memfailkan saman pada 3 Mei 2016 mendakwa Tengku Sariffuddin telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap beliau pada April, 2016.

Beliau mendakwa kenyataan fitnah itu membawa maksud Dr Mahathir dan bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkomplot dalam kempen jahat bagi menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara sah dan plaintif masih terbabit secara langsung dalam komplot antara kedua-dua mereka.-MKini

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");