Sukan Hari Ini

Ozil Tinggalkan Jerman

BERLIN: Mesut Ozil berkata dia tidak lagi akan menyarung jersi skuad kebangsaan Jerman susulan kritikan berunsur perkauman yang diterimanya pada kempen Piala Dunia 2018 di Russia.

“Dengan berat hati dan selepas membuat pertimbangan sewajarnya, saya tidak lagi akan bermain untuk Jerman di peringkat antarabangsa kerana saya berasakan tidak dihormati selain kritikan berunsur perkauman yang saya terima,” kata Ozil menerusi laman Twitter miliknya.

Terdahulu, Ozil yang mempunyai keluarga berasal dari Turki mempertahankan tindakannya bergambar bersama Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, Mei lalu yang mencetus persoalan mengenai kesetiaannya terhadap skuad kebangsaan menjelang Piala Dunia.

Dalam kenyataan menerusi Twitter miliknya, Ozil turut meluahkan kekecewaan terhadap Persekutuan Bolasepak Jerman (DFB) yang gagal mempertahankan dirinya susulan kritikan diterima.

“Paling mengecewakan saya berhubung isu melanda sejak beberapa bulan kebelakangan ini adalah sikap DFB menerusi presiden, Richard Grindel yang langsung tidak mempertahankan saya,” katanya.

Pemain tengah Arsenal itu, berkata, Grindel dan jurulatih Jerman, Joachim Loew meminta dirinya untuk mengeluarkan kenyataan bersama bagi menamatkan kontroversi berhubung gambarnya bersama Erdogan.

“Ketika saya mahu menjelaskan kepada Grindel mengenai situasi sebenar, dia sebaliknya lebih berminat untuk bercakap mengenai pandangan peribadinya dalam politik dan menafikan pandangan saya,” kata Ozil, sebagaimana dilaporkan BH Online.

Tambahnya, dia dilayan secara tidak adil apabila dikatakan menjadi punca kegagalan Jerman di pusingan pertama pada Piala Dunia.

“Saya tidak mahu lagi menjadi kambing hitam kepada Grindel yang gagal melaksanakan tugasnya dengan baik,” katanya.

Ozil berkata, dia setia dengan asal usulnya di kedua-dua negara Turki dan Jerman dan menegaskan ia langsung tidak berniat politik.

“Seperti ramai orang lain, asal usul nenek moyang saya lebih dari satu negara. Walaupun saya membesar di Jerman, latar belakang keluarga saya adalah dari Turki,” katanya.

“Saya mempunyai dua hati, satu Jerman dan satu Turki.”

Ozil, 29, berkata, dia menemui Erdogan buat kali pertama pada 2010 apabila Presiden dan Kaunselor Jerman, Angela Merkel menyaksikan perlawanan di antara Jerman dan Turki bersama-sama.

Katanya, sekali pun dia bergambar dengan Erdogan sejurus selepas pemimpin itu memenangi pilihanraya, ia tidak berkaitan dengan politik dan hanya menghormati pemimpin tertinggi negara keluarganya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");