Perak Hari Ini

Program Pemutihan Kenal Pasti Syarikat Telco Belum Berdaftar, Tunggakkan Bayaran

IPOH:Kerajaan Negeri melancarkan program pemutihan bagi mengenal pasti syarikat-syarikat telekomunikasi (telco) yang belum berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi, Hasnul Zulkarnain Abd. Munaim berkata hasil laporan mendapati terdapat beberapa syarikat telco yang tidak menjelaskan tunggakan sewa tapak pencawang komunikasi hingga mencecah hampir RM1.7 juta.

“Jadi saya jalankan program pemutihan supaya pihak telco boleh membayar kepada pihak kerajan dan berdaftar dengan pihak PBT terutama bagi pihak yang menyewa tanah persendirian kerana begitu mudah bagi mereka membinanya,” katanya ketika ditemui pada sesi lawatan ke pusat Internet Malaysia Kampung Titi Serong di sini hari ini.

Katanya, terdapat undang-undang ditetapkan bagi pembinaan pencawang komunikasi dan masih terdapat pihak telco yang membina tanpa kelulusan.

“Jika pihak telco berdaftar pihak Kerajaan Negeri akan mengetahui  jumlah sebenar pencawang yang dibina secara haram dan berapa keperluan untuk ditambah lagi.

“Saya berharap Kerajaan Negeri mendapat kerjasama penuh daripada pihak telco bagi menyahut program pemutihan ini dan membuat pendaftaran dengan PBT setiap kawasan,” katanya.

Katanya satu siri pertemuan telah diadakan dengan pihak telco bagi mengenalpasti jumlah pencawang yang beroperasi di negeri ini terutama menggunakan tanah kerajaan negeri.

“Kerajaan Negeri memberi tempoh sehingga 31 Julai ini bagi sesi pendaftaran pencawang dan sekiranya selepas itu tiada tindakan daripada pihak telco pihak kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas mengikut akta yang boleh digunakan terhadap pemilik pencawang,” katanya.

Katanya, keengganan pihak telco menjelaskan sewa tapak telah merugikan serta tidak mendatangkan hasil yang menguntungkan pada pihak kerajaan negeri.

“Bagi tapak tanah milik kerajaan sewa hanya RM3000 setahun manakala bagi sewa tanah persendirian jauh lebih murah dan boleh dibayar secara ansuran jadi kita akan cuba selaraskan,”katanya.

Katanya lagi, Perak sentiasa membuka ruang kepada pihak telco di negara ini untuk menjalinkan kerjasama dengan kerajaan negeri bagi menambahkan jumlah pencawang telekomunikasi mengikut syarat yang ditetapkan.

Terdahulu Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia (SKMM) negeri akan menyediakan kemudahan pusat media yang akan beroperasi di Pusat Internet Malaysia sempena Sukan Malaysia (Sukma) 2018 September ini.

Jelas Hasnul pihak SKMM telah bersetuju
menawarkan kemudan Pusat Internet Malaysia untuk digunakan sebagai pusat media sepanjang temasya sukan itu berlangsung.

“Pusat media ini akan dibuka di setiap daerah mengikut venue di kawasan terpilih jadi terdapat 66 pusat media di seluruh negeri yang menggunkan Pusat Internet Malaysia sempena SUKMA 2018,”katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");