Jenayah

Pusat Karaoke Lubuk Remaja Lalok

KUALA LUMPUR: Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun antara 19 individu ditahan selepas didapati positif dadah oleh penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Selangor di sebuah premis hiburan karaoke, di USJ19, di sini, awal pagi ini.

Operasi bersepadu disertai 15 pegawai AADK Selangor dengan kerjasama 38 penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang membongkar ‘lubuk lalok’ itu antara lain mengesahkan individu terbabit berhibur dengan dadah jenis methamphetamine dan methylenedioxy-methamphetamine (MDMA).

Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Selangor, Mohd Firdaus Abu Bakar, berkata individu ditangkap berusia antara 15 hingga 25 tahun itu terdiri daripada 17 lelaki dan dua perempuan.

Katanya, kumpulan itu termasuk tujuh individu berumur bawah 18 tahun disahkan positif pelbagai jenis dadah termasuk methamphetamine dan MDMA.

“Kita mula operasi ini kira-kira jam 12 tengah malam tadi, dua pusat hiburan diserbu masing-masing di USJ19, Subang Jaya dan Bandar Sunway.

“Di SS19, kita menjalankan ujian saringan air kencing terhadap 23 individu, 19 daripadanya didapati positif dadah termasuk MDMA.

“Ada di antara mereka yang bawah umur 18 tahun, masih bersekolah dan menetap di kawasan berdekatan (Subang Jaya dan USJ).

“Pusat hiburan di Bandar Sunway pula, ujian sama dijalankan terhadap 10 individu, dua daripadanya positif dadah jenis ganja,” katanya pada sidang media operasi bersepadu itu di SS19, di sini, awal pagi ini lapor Berita Harian.

Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali.

Mohd Firdaus berkata kesemua individu itu akan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983.

“Untuk tindakan selanjutnya, kita akan dapatkan reman daripada pihak mahkamah dan kita akan memohon perintah supaya mereka menjalankan proses pemulihan bersama AADK sama ada dalam institusi atau bersama komuniti,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zulkurnain berkata premis karaoke di SS19 tidak mempunyai lesen untuk beroperasi sebagai pusat hiburan.

Beliau berkata pihaknya mempunyai hak untuk mengambil tindakan ke atas premis itu mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan Selangor 1995 (pindaan 2001) iaitu mengadakan kegiatan hiburan tanpa lesen daripada MPSJ.

“Denda maksimum RM25,000 boleh dikenakan , kita juga rampas beberapa alat dan set karaoke sebagai bahan bukti siasatan.

“Mengikut rekod MPSJ pula, lesen premis berkenaan ditarik berikutan kegiatan perjudian yang berleluasa di situ, yang secara jelas melanggar peruntukan undang-undang sedia ada.

“Premis itu menjalankan operasi secara haram, malah penguat kuasa kita mendapati terdapat beberapa laluan rahsia masuk dan keluar, selain pelanggan tertentu saja dibenarkan masuk,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");