Perak Hari Ini

Pusat Pengajian Tahfiz, Pondok Perlu Berdaftar

IPOH:Pihak pengurusan Pondok dan pusat pengajian Tahfiz di negeri ini disaran supaya berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk).

Exco Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi berkata tindakan itu perlu supaya status pondok tersebut dapat dikenal pasti sebagai sebuah pusat pengajian serta memudahkan bantuan diterima daripada pihak kerajaan negeri.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu pondok Kadir Al-Jaafar, Guar Tempurung, Gopeng dekat sini yang berhadapan dengan masalah tapak operasi dan status operasinya yang masih kabur.

“Pondok Al-Jaafar tidak didaftarkan jadi saya nasihatkan ia didaftar dibawah Majlis Agama Islam untuk mendapat status sebagai sebuah pusat pengajian.

“Namun pastinya ada syarat yang perlu dipatuhi malah difahamkan agensi yang membantu iaitu kadir telah mengenalpasti satu tapak untuk mereka berpindah bagaimanapun pengurusan pondok keberatan berpindah dan menjadi satu masalah kini,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian sumbangan kepada Rumah Anak Yatim Pertubuhan Kebajikan Kasih Nurul Iman di sini hari ini.

Beliau terdahulu meluangkan masa sekitar dua jam memberi kata-kata semangat kepada anak-anak yatim dan memberi sumbangan pada majlis anjuran bersama Pertubuhan Pengguna Prihatin Perak.

Katanya lagi kerajaan negeri bersedia menawarkan tapak lain untuk pondok tersebut bagaimanapun perlu memberi maklumat sahih mengenai status operasinya yang masih belum jelas.

“Kita bersedia menawarkan tempat lain tetapi perlu mengikut peraturan jika ingin menjadi pusat pengajian perlu didaftarkan sebagai pusat pengajian,sekiranya mahu dijadikan pusat latihan perlu didaftarkan sebagai pusat latihan tetapi sekarang statusnya bukan pusat pengajian dan bukan juga pusat pemulihan jadi sukar pihak Kerajaan untuk kenalpasti,” katanya lagi.

Katanya lagi, tapak pondok berkenaan merupakan tanah milik kerajaan dan mengikut laporan tapak tersebut akan digunakan untuk pembangunan sebuah projek baharu.

“Mereka menduduki tanah kerajaan dan tapak itu tidak sesuai mengikut laporan dan ada projek lain yang ingin dijalankan berikutan itu disaran supaya berpindah dan pihak pengurusan perlu jelas memohon tapak pusat pengajian tidak bermakna tapak yang sama akan diberikan itu perlu jelas.

“Beroperasi diatas tapak tanah yang tidak dibenarkan pastinya akan timbul masalah lain jadi pihak pengurusan perlu mempertimbangkan langkah diambil kerajaan negeri,” katanya.

Terdahulu katanya satu mesyuarat melibatkan pelbagai pihak seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK),Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pejabat Agama Daerah telah dianjurkan bagi membincangkan isu berkaitan Pondok Al-Jaafar.

Sementara itu semasa lawatanya ke Rumah Anak Yatim Pertubuhan Kebajikan Kasih Nurul Iman di Manjoi hari ini Asmuni berharap agar pihak pengurusan mengadakan kerjasama dan usaha mendekati pihak yang sudi memberi sumbangan agar tapak yang sesuai serta kondusif dapat disediakan untuk kanak-kanak tersebut.

“Tapak di sini tidak berapa kondusif terhadap pembesaran kanak-kanak jadi saya saranakan pihak pengurusan cuba membuka ruang mendekati individu yang ingin menyumbang atau pergi pejabat tanah berjumpa pentadbir tanah daerah bagi mengenalpasti tanah kosong yang lebih sesuai buat kanak-kanak ini,” katanya.

Rumah Anak Yatim Pertubuhan Kebajikan Kasih Nurul Iman kini menempatkan sekitar 30 anak-anak yatim terdiri daripada pelbagai latar belakang keluarga yang kurang berkemampuan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");