Berita Hari Ini

Royalti Minyak Berdasarkan Keuntungan Hasil Negeri, Kata Dr M

PETALING JAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata sekali lagi menekankan pembayaran royalti 20% kepada negeri-negeri akan dikira berdasarkan keuntungan daripada hasil yang diperoleh di negeri berkenaan.

“Royalti adalah keuntungan. Ia bergantung kepada keuntungan Petronas di kawasan itu. Apa yang kita dapat dari Terengganu tidak akan diberikan kepada Sabah dan Sarawak,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PPBM hari ini.

Terdahulu, penyelidik Perjanjian Malaysia 1963, Zainnal Ajamain mempersoalkan kewajaran kiraan berdasarkan keuntungan kerana ia tidak mengiktiraf negeri sebagai pemilik sumber minyak dan gas.

“Jika ia keuntungan, itu bayaran tunai dan ia bertentangan dengan janji PH untuk 20% royalti minyak,” katanya kepada FMT.

Perdana menteri mendedahkan kiraan bayaran royalti kepada negeri akan dibuat berdasarkan kepada keuntungan Petronas di negeri-negeri berkenaan di Dewan Rakyat semalam.

Pembayaran royalti 20% daripada “pembayaran tunai” 5% kepada negeri dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan pada pilihan raya 9 mei lepas.

Pemimpin pembangkang Sabah, Datuk Jeffrey Kitingan hari ini menggesa kerajaan menetapkan tarikh pembayaran royalti agar negeri tahu bila wang akan disalurkan.

Intipati lain pada sidang media hari ini ialah:

 Cukai jualan dan perkhidmatan (SST)

“SST memang kurang membebankan rakyat. Dari segi jumlah kutipan tahunan, GST kutip sebanyak RM42 bilion dan SST hanya RM20 bilion hingga RM25 bilion. Kita telah selamatkan RM20 bilion (untuk rakyat).

“SST naik harga barang adalah tidak benar. SST tidak dikenakan pada kadar 16%. Ada barangan yang tidak dikenakan cukai dan ada barangan yang hanya dikenakan 5% dan 10%.

“Kita umumkan banyak barangan yang sebelum ini dikenakan GST tidak lagi dikenakan SST. Ini bermakna beban rakyat berkurangan.”

Pengecualian cukai

“Banyak barangan dibeli bukan untuk ‘consumption’; ini sesuatu yang digunakan untuk menjana pendapatan. Jadi tidak ada keperluan untuk mengenakan cukai.”

Agenda Malaysia-China

“Tun Daim Zainuddin ke China untuk membincangkan kontrak yang dianugerahkan oleh pentadbiran lepas.

“Kita akan menjemput syarikat-syarikat China untuk melabur di negara ini dengan menggunakan sumber dan tenaga pekerja Malaysia.

“Hakikatnya Malaysia tidak ada duit. Kita tak mampu untuk meminjam dengan banyak. Kita cuba mengurangkan jumlah wang yang dipinjam, kerana jika tidak negara akan muflis.”

Tangkapan Jho Low

Tajuk: Jho Low ditangkap berita palsu

“Saya tak tahu. Ada laporan yang kata dia ditangkap tapi saya tidak ada maklumat langsung. Ia mungkin berita palsu.”

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");