Perak Hari Ini

“Seolah-olah Ada Pihak Menghalang Kerja Dakwah Saya “ – Ustaz Kazim

IPOH: Penceramah bebas, Datuk Kazim Elias menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan Pusat Pendidikan Al-Barakah Manjoi akan ditutup.

Beliau yang juga pengasas serta pengetua  pusat pendidikan yang telah beroperasi semenjak 2006 itu menjelaskan hanya Unit Tahfiz sahaja yang berkemungkinan akan dijual.

Ujarnya, ia berikutkan daripada tindakan sesetengah pihak yang dilihat seolah-olah menghalang aktiviti dakwahnya.

Tambahnya, ia sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada sumber kewangan pusat pendidikan tersebut kerana ianya bergantung sepenuhnya kepada sumbangan awam, bayaran ceramahnya, serta produk-produk yang dijual semasa ceramah mahupun yang dijual pihak lain.

“Kemudahan dan keselesaan yang begini besar memerlukan kos yang tinggi. Kita menyediakan pembelajaran, pengurusan, guru-guru daripada semua peringkat.

“Ia bergantung kepada hasil ceramah saya di seluruh Malaysia dan bukan dana daripada mana-mana parti politik, yayasan atau individu. Apabila timbul beberapa insiden yang tidak menyenangkan saya di antaranya, terdapat usaha seolah-olah menyekat kerja dakwah saya.

“Ia mengecewakan namun, ingin saya jelaskan bahawa, tidak ada tindakan dan sekatan oleh mana parti atau pihak kerajaan,” katanya dalam satu sidang media di Pusat Pendidikan Al-Barakah, dekat sini, hari ini.

Menceritakan keadaan yang dihadapinya, Mohd Kazim, atau lebih dikenali sebagai ‘Ustaz Kazim’, berkata jemputan ceramahnya pernah dibatalkan pengajur pada saaat-saat akhir walaupun ketika itu sudah pun berada di ruangan menunggu.

“Ini berlaku selepas Pilihanraya Umum lalu tapi saya tegaskan saya tidak tahu mana pihak yang terlibat. Pembatalan bukan satu, dua,” katanya.

Akibat daripada itu, beliau berkata, pihaknya telah pun merancang tiga solusi yang akan diambil seperti, pertama, melihat perkembangan isu sehingga beberapa bulan, keduanya, menutup Unit Tahfiz untuk ditukarkan kepada Akademi Daei yang berkapasiti kecil serta,  yang terakhir, menjual unit tersebut demi kelangsungan unit-unit lain.

Mengulas tentang pengiklanan ke laman Mudah.my, Mohd Kazim berkata ianya bukanlah dibuat atas dasar simpati sebaliknya kerana mahu mencari pihak yang sudi mengambil alih ataupun bekerjasama dengan pihak Pusat Pendidikan Al-Barakah bagi meneruskan pengurusan Unit Tahfiz tersebut.

Jelasnya, kos pembiayaan bagi unit tersebut hampir mencecah RM100,000 yang mana ianya termasuk kos pembiyaan gaji pekerja, urusan makan minum pelajar, kos tenaga eletrik dan sebagainya.

“Selepas perbincangan dengan beberapa pihak nanti, kita akan putuskan sama ada Unit Tahfiz ditutup atau tidak,” kata Mohd Kazim yang juga pada masa sama menyambut baik respons daripada kerajaan negeri yang tidak mengalangnya berceramah di Perak.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");