Perak Hari Ini

Siti Aishah Redha Jika PH Perak Tolak Pencalonannya

PETALING JAYA: Senator Siti Aishah Shaik Ismail redha jika mesyuarat majlis Pakatan Harapan (PH) Perak kelak menolak pencalonannya sebagai penasihat menteri besar.

Ketua penerangan PKR Perak itu akui tegurannya mengenai tekanan daripada DAP dan pemimpin Amanah, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dalam kontroversi pelantikan speaker Dewan Undangan Negeri Perak meninggalkan kesan besar pada pimpinan negeri.

Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu sendiri yang menamakan beliau untuk jawatan penasihat dan sama ada Aishah diterima atau tidak akan diketahui 20 Julai ini.

“Saya menerima dengan hati yang lapang dan tidak ada sebarang paksaan atau tekanan kepada menteri besar,” katanya.

“Tetapi saya ingin tegaskan ini bukan soal individu kerana jawatan itu ditawarkan kepada PKR dan saya dinamakan ke kedudukan berkenaan,” tambahnya.

Terdahulu, Exco Nizar berkata masih belum ada keputusan rasmi tentang pelantikan Siti Aishah sebagai penasihat kepada menteri besar.

Senator itu dinamakan sebagai calon penasihat menteri besar selepas beliau yang dicalonkan PKR untuk jawatan speaker mendakwa dia menarik diri kerana ditekan DAP dan Nizar supaya memberi laluan kepada Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham.

Nizar berkata pencalonan Siti Aishah hanyalah cadangan Faizal dan menambah PH Perak tidak perlukan penambahan jawatan lain dalam urusan pentadbiran.

“Teguran itu dilakukan untuk menegakkan prinsip, namun jika ada pemimpin PH menganggapnya sebagai permusuhan, terserah pada mereka,” katanya.

Beliau bersedia untuk berdepan para pemimpin PH Perak untuk memberikan penjelasan dan memastikan sebarang isu berbangkit antara mereka diselesaikan.

Siti Aishah juga menafikan dakwaan dia tidak fasih berbahasa Inggeris sekali lagi dijadikan isu dalam pelantikan kali ini.

“Isunya adalah teguran saya terhadap Amanah dan DAP. Kalau dahulu saya kritik Umno dan Barisan Nasional dianggap ‘okay’, mengapa tidak kali ini?” kata ketua Srikandi PKR ini.

“Kalau perkara inipun hendak diheret dengan permusuhan, bagi saya itu satu perkara yang boleh menonjolkan sikap tidak matang PH di Perak,” tambahnya.

Dalam kontroversi pelantikan speaker, Nizar secara terbuka memohon maaf atas sebarang “salah faham” dan berkata kenyataan Aisyah adalah pendirian peribadi.-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");