Panasnya Hari Ini

UMNO Perlu Sedia Diharamkan – Veteran UMNO

KUALA LUMPUR: UMNO kini perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk diharamkan susulan Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mampu menggantikan UMNO untuk membela orang Melayu.

Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, apa yang diperkatakan Dr Mahathir itu adalah antara petanda UMNO akan berdepan pelbagai tekanan politik termasuk diharamkan.

“UMNO kena bersedia untuk berdepan dengan apa juga tekanan selepas ini. Itu (ucapan Dr Mahathir) antara tanda-tanda awal UMNO akan ‘diserang’ termasuk bakal diharamkan.

“UMNO sekarang kena bertindak balas dengan cepat mulai sekarang, bersedia dengan pelan kecemasan seperti menubuhkan UMNO baharu jika UMNO sekarang diharamkan,” katanya sebagaimana dilaporkan BH Online, hari ini.

Semalam, Dr Mahathir membuat pengakuan PPBM akan menjadi pelindung dan menjaga kepentingan orang Melayu di negara ini, menggantikan UMNO.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi PPBM berkata, melalui pegangan jawatan Perdana Menteri yang diberikan kepada pemimpin parti itu dalam Pakatan Harapan (PH), perkara itu dapat dijamin.

“Bagaimana sekian lama mereka percaya perlindungan yang datangnya daripada parti UMNO saja tetapi saya beri pengakuan bahawa Parti Pribumi (PPBM) ini akan menjadi pelindung mengganti parti UMNO,” kata Dr Mahathir.

Mengulas lanjut, Mustapha berkata, ucapan Dr Mahathir itu juga sebenarnya memberi isyarat PPBM tidak mampu untuk menggantikan UMNO bagi membela Melayu.

Katanya, Dr Mahathir tahu kedudukan PPBM di Dewan Rakyat ketika ini tidak kuat berbanding rakan sekutu mereka terutama PKR dan DAP dalam PH.

“UMNO ada 52 kerusi. PPBM hanya ada 13 kerusi. Beliau menjadi Perdana Menteri kerana janji dipersetujui parti dalam PH sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Dalam PH, bagaimana ia hendak mengimbangi kekuatan PKR dan DAP. Beliau (Dr Mahathir) bimbang, sebab itu beliau kata PPBM akan menggantikan UMNO bela orang Melayu.

“Apabila Perdana Menteri kata begitu, beliau mungkin mahu menarik Ahli Parlimen UMNO supaya ‘menyeberang’ ke PPBM, untuk menguatkan PPBM,” katanya.

Malah katanya, akibat kelemahan PPBM ketika ini, kedudukan dan kelangsungan Melayu tergugat dan ia dapat dilihat dalam isu penggunaan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa rasmi, pelantikan Kabinet dan isu Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

Sementara itu, penganalisis politik, Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, PPBM perlu mengekalkan integriti dan kepemimpinan yang dipercayai serta tidak terjebak dengan kelemahan atau isu yang boleh menjejaskan imejnya jika hendak menggantikan UMNO.

Malah katanya, PPBM juga perlu lebih ke depan menjuarai isu bahasa Melayu, kepentingan hak istimewa Melayu dan kedaulatan Islam seperti termaktub dalam perlembagaan.

“PPBM perlu elak dilihat liberal berhubung isu teras dalam kalangan Melayu majoriti yang dianggarkan sekitar 65 hingga 70 peratus masih belum menyokong PH,” katanya.

Namun, katanya, PPBM mempunyai kelebihan kerana kini menjadi kerajaan, sekali gus memudahkan parti itu meluaskan pengaruh dan menarik orang Melayu menyokong atau menyertainya.

Beliau turut menyifatkan kenyataan Dr Mahathir itu sebagai isyarat dan mesej kemungkinan UMNO akan diharamkan pendaftarannya selepas didakwa tidak mengikut tertib dan peraturan parti.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");