Perak Hari Ini

‘Usung Rumah’ Tradisi Lama Terus Dikekalkan

KUALA KANGSAR:Tradisi memindahkan rumah dengan meng­angkatnya secara beramai-ramai oleh penduduk kampung kini sudah semakin pupus.

Namun, Peraktoday berpeluang menyaksikan situasi itu kembali apabila sekumpulan penduduk Kampung Labu Kubong, Lubuk Merbau dekat sini mengembalikan nostalgia itu dengan membantu memindahkan sebuah rumah bersama-sama pelajar universiti sejauh kira-kira 150 meter ke tapak baharu.

Program Tradisi Mengangkat dan mengusung Rumah lama yang berlangsung hari ini merupakan inisiatif bersama penguasaha Homestay Kampung Labu Kubong dan Adventure360 Tours Sdn Bhd.

Penyelaras Homestay Kampung Labu Kubong juga merangkap penganjur program, Meor Samsudin Abu Hassan berkata aktiviti tersebut dianjurkan bagi mengenang kembali tradisi lama selain memberi peluang kepada golongan muda merasai sendiri pengalaman mengangkat sebuah rumah.

“Sudah lama tradisi angkat rumah ini tidak berlaku saya sendiri pernah melihatnya sendiri ketika waktu kecil lagi, bila ada peluang begini kami gunakan sebaik mungkin dan pada mulanya saya hanya berhasrat membuka bahagian rumah dan memasangnya semula tetapi atas buah fikiran kawan-kawan apa salahnya kita kembalikan tradisi ini.

“Kita sendiri mahu memperkenalkan homestay Labu Kubong jadi rumah ini akan dijadikan salah satu produk pelancongan kami kelak yang akan dijadikan galeri kelak,” katanya.

Katanya kehadiran pelancong daripada luar negara yang berhasrat untuk melihat seni bina rumah lama memberikan suntikan idea buatnya bagi menjadikan rumah tersebut sebagai sebuah galeri setelah diangkat dan diletakkan semula berhampiran Dataran Badang.

Terdahulu seramai lebih 100 orang melibatkan penduduk kampung, pelajar daripada Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Sultan Azlan Shah (Usas) serta pelajar pusat tahfiz dari Patani, Thailand secara bekerjasama mengangkat rumah yang berusia lebih 60 tahun kepada satu lokasi baru.

Tambah menarik pelajar daripada luar negara turut serta membantu mengangkat rumah berkenaan ke lokasi baru yang bermula pada pukul 9.30 pagi dan selesai pada pukul 2 petang.

Letak Budak Kecil Dalam Rumah

Meor Samsudin turut berkongsi petua yang diberikan oleh orang lama kampung tersebut iaitu meletakkan seorang budak kecil di dalam rumah ketika proses mengangkat rumah tersebut dijalankan.

Bagaimanapun tujuan sebenar petua itu tidak diketahuinya dan sekadar cuba berkongsi petua orang kampung yang lebih arif dan berpengalaman di kampung itu.

Jelas Meor sebelum proses mengangkat rumah, buluh dan batang pinang dijadikan kayu untuk memikul rumah berkenaan yang diikat dengan tali di bahagian bawah rumah.

“Zaman dahulu kita gunakan rotan dan akar pokok tetapi sekarang gunakan tali tetapi semuanya memerlukan teknik bagi mengikat kayu dan semua bahagian bawah rumah kerana berat rumah boleh mencecah hingga 6 tan,” katanya.

Katanya lagi tenaga manusia yang ramai perlu bagi memudahakan proses angkatan selain daripada secara peka terhadap arahan dan bergerak secara serentak.

 

“Rumah ini telah dikosongkan terlebih dahulu malah saya telah buang bahagian beranda dan dapurnya bagi mengurangkan berat rumah supaya senang diangkat,” katanya.

Katanya lagi setiap dialihkan ke lokasi baru kesemua bahagian asal rumah akan dibina semula dan dijadikan sebuah rumah tradisional lama yang baharu.

“Rumah tradisional kini banyak yang sudah pupus, semua sudah berubah reka bentuk jadi saya mahu pastikan rumah ini kembali dijaga dan dijadikan galeri supaya dikenali oleh anak cucu kelak,” katanya.

Katanya lagi, rumah yang berusia lebih 60 tahun itu akan dijadikan galeri untuk tarikan pelancong terutama daripada luar negara yang begitu meminati keunikan rumah tradisional negeri ini.

Sementara itu, wakil pemilik rumah yang dipindahkan Ruzimah Abdul Rahman mengakui hatinya sayu dan sedih melihat rumah peninggalan arwah opahnya dialihkan daripada lokasi asal.

Bagaimanapun katanya hasil persetujuan keluarganya mereka bersetuju agar rumah itu dijadikan galeri dan dapat digunakan oleh semua orang kelak.

“Mulanya sedih kerana di sini saya dilahirkan dan tempat saya bermain semasa kecil tetapi selepas ini rumah ini akan cantik semula dan dijadikan galeri untuk kebaikan kampung ini juga,” katanya ringkas.

Simbolik Pelancaran Badang Challenge

Pengarah program Hisham Yusof berkata program angkat rumah yang berlangsung hari ini merupakan simbolik kepada pengajuran Badang Challenge yang bakal berlangsung September ini.

“Bagi penganjuran kali ini ada kelainan apabila rumah ini akan dijadikan lokasi acara badang yang akan berlangsung nanti melibatkan penyertaan 24 negara.

“Usaha mengusung rumah ini juga perlu dikekalkan agar anak cucu kita kelak mengetahui amalan tradisi orang dahulu,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");