Perak Hari Ini

WCIT 2018 Tampil Kelainan, Ketengahkan Seni dan Budaya

IPOH: Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Dunia (WCIT) 2018 kali kelima, bakal menyaksikan bidang kesenian dan kebudayaan menjadi salah satu intipati utama acara tersebut.

Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Tan Sri Nordin Kardi berkata, kelainan yang ditonjolkan pada penganjuran tahun ini membuktikan bahawa bidang tersebut sangat penting dan seiring dengan tema ‘Securing the Future’.

Jelasnya, bagi membentuk sebuah tamadun masa depan yang baik, ilmu kesenian dan kebudayaan juga harus diberi perhatian sepenuhnya kepada manusia.

“Ramai sudah berbincang tentang ekonomi tetapi kadang-kadang terlupa soal kesenian yang boleh melembutkan hati dan perasaan supaya pada masa hadapan dunia dipenuhi dengan jiwa kasih sayang.

“Memang betul, soal ekonomi penting untuk makan minum tetapi, makan minum untuk jiwa dan rohani juga perlu untuk manusia,” katanya.

Tambahnya, sepanjang tiga hari penganjuran, pada 16 Julai nanti, ia merupakan hari yang didedikasikan untuk membincangkan soal kesenian dan kebudayaan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu siang media di Bangunan Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Perak, dekat sini, pada Rabu.

Pada masa sama, Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof berkata selain kesenian dan budaya antara tema lain yang turut diangkat pada persidangan kali ini ialah hubungan antara budaya dan agama, ekonomi, alam sekitar, serta tema belia.

Ujarnya, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah juga sekali lagi pada kali ini, berkenan berangkat mencemar duli menyampaikan titah diraja pada acara perasmian yang akan diadakan pada 17 Julai.

Selain itu, katanya antara tokoh antarabangsa yang bakal hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Kedua Uganda, Dr Ally Muwabe Kirunda Kivejinja; Tokoh Akademik Mesir, Dr Ismail Serageldin serta Ibu Yenny Wahid yang juga merupakan anak kepada Presiden Indonesia, Abdurrahman Wahid.

Tidak ketingglan juga beberapa tokoh-tokoh tempatan yang antaranya dibarisi Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; Menteri Pendidikan, Dr Mazlee Malik serta pakar ekonomi, Datuk Dr Mohd Azmi Omar.

Tambah Wan Sabri, dalam kesemua lebih 20 orang pembentang yang bakal hadir, penganjur juga turut menjemput beberapa tokoh yang mewakili agama lain seperti daripada persatuan Soka Gakkai dan tokoh agama Kristian dari Negara Kota Vatikan.

“Melalui penganjuran tahun lalu, ada permintaan untuk dibukakan sebuah akademi atapun isntitusi untuk WCIT, dan kita pun bersetuju untuk membukanya di USAS.

“Dana sudah diterima pada tahun lalu dan tidak lama lagi usaha ini akan direalisasikan. Di situ kita boleh buat penerbitan jurnal, buku. hasil penyelidikan dan sebagainya,” ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");