Berita Hari Ini

YKN Tubuh Tabung Derma Palestin

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN) menubuhkan Tabung Derma Palestin bagi membantu rakyat Palestin yang kini amat memerlukan dana bagi meneruskan kehidupan mereka.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata Agensi Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) kini berdepan situasi kewangan terburuk sejak ditubuhkan pada 1947 selepas Amerika Syarikat (AS) menarik balik dana AS$300 juta (RM1.2 bilion) daripada agensi itu, awal tahun ini.

“Agensi itu berdepan masalah kewangan yang serius dan memerlukan dana berjumlah RM800 juta sehingga akhir tahun ini bagi membiayai pelbagai projek serta bantuan.

“Jika keadaan ini berterusan, ia akan menyebabkan sekolah untuk rakyat Palestin tidak dapat dibuka seperti dijadualkan pada Ogos ini dan perkhidmatan lain yang akan terjejas mulai bulan ini termasuk aktiviti kemanusiaan khususnya bantuan makanan kecemasan kepada rakyat Palestin di Gaza serta Syria.

“Justeru, YKN mengambil inisiatif ini, sama seperti tabung yang pernah ditubuhkan YKN untuk membantu rakyat Bosnia dan Iraq sebelum ini, saya sendiri akan terbabit secara aktif dalam mengumpul dana untuk rakyat Palestin,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan kepada YKN di sini, hari ini lapor Berita Harian.

Pada majlis itu, YKN menerima sumbangan berjumlah RM187,200 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dalam bentuk bantuan dialisis kepada enam pesakit selama setahun serta sumbangan mesin dialisis dan wang tunai berjumlah RM100,000 daripada Alliance Islamic Bank Berhad.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan mereka boleh berbuat demikian ke akaun YKN-Tabung Rakyat Palestin melalui akaun Alliance Islamic Bank (Nombor Akaun 160140010011300) dan boleh berhubung dengan sekretariat menerusi talian 03-83232451 untuk maklumat lanjut.

Mengulas kes perkahwinan budak berusia 11 tahun dengan peraih getah berusia 41 tahun di Kelantan, beliau berkata, pegawai kementeriannya sudah bertemu kanak-kanak itu sebanyak dua kali bagi sesi kaunseling.

“Kanak-kanak itu masih berada di Malaysia dan kita membuat kunjungan serta memberi perhatian kepadanya. Ibu bapanya juga memberikan kerjasama kepada kita.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh meletakkan dia di bawah perlindungan (Jabatan Kebajikan Masyarakat) kerana tidak ada sebarang tanda penderaan ke atasnya selepas doktor membuat pemeriksaan dan keluarganya juga melayan dia dengan baik,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");