Membawang Hari Ini

Yusof Haslam Peroleh Kebenaran Untuk Mencabar

PUTRAJAYA: Pengarah dan penerbit filem, Datuk Yusof Haslam, berjaya memperoleh kebenaran untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan berhubung hak cipta sebuah novel dalam kes saman berkaitan filem syarikatnya, ‘Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam’.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum, dalam keputusannya di sini, membenarkan permohonan Yusof bersama anaknya lelakinya, Shamsul dan syarikat Skop Production selepas selesai mendengar hujah kedua-dua pihak.

Bagaimanapun tarikh merayu akan ditetapkan kemudian. Turut bersidang bersama ialah Tan Sri Zainun Ali dan Tan Sri Aziah Ali.

Sementara itu, peguam Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Yusof dan dua lagi, ketika ditemui berkata pihaknya akan mengemukakan dua persoalan undang-undang untuk Mahkamah Persekutuan mempertimbangkan sebelum membuat keputusan.

Menurutnya, mahkamah sudah mendengar dan bersetuju bahawa kes itu seharusnya diberi kebenaran untuk dibawa berhujah ke peringkat Mahkamah Persekutuan.

“Dua persoalan undang-undang dibenarkan dan ia menjurus kepada isu penting iaitu berkaitan konsep hak cipta di arena percetakan dan hiburan iaitu filem. Kami akan membangkitkan sama ada percetakan itu dengan sendirinya memadai untuk membuktikan dalam undang-undang berhubung isu plagiat itu.

“Selain itu kami juga akan mengemukakan pertikaian adakah mahkamah wajib membandingkan di antara novel dengan filem bagi menentukan adakah terdapat persamaan atau tidak,” katanya lapor Berita Harian.

Haniff berkata, pada peringkat Mahkamah Tinggi sebelum ini sudah bersetuju bahawa Skop tidak membuat plagiat daripada novel yang wujud 14 tahun lalu.

“Watak dan cerita semua berbeza bagaimanapun Mahkamah Rayuan mendapati sebaliknya.

“Kami mengatakan bagaimana Mahkamah Rayuan boleh membuat keputusan begitu tanpa melihat atau membandingkan filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam’ dengan novel Bohsia itu. Bagaimanapun kami akan kemuka semua hujah itu ketika pendengaran nanti,” katanya.

Pada 21 Julai tahun lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan penulis novel, Elias Edris yang menuntut perisytiharan bahawa Yusof, Shamsul dan Skop Production melanggar hak cipta terpelihara novelnya yang bertajuk ‘Aku Bohsia’.

Ketiga-tiga plaintif itu diperintahkan membayar novelis itu ganti rugi yang akan dinilai oleh Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak saman novelis itu, selepas membenarkan rayuannya.

Pada 24 November 2014, Elias 65, memfailkan saman terhadap Yusof, 63, atau nama sebenarnya Md Yusof Md Aslam; Syamsul, 33; dan Skop Production sebagai defendan pertama hingga ketiga berhubung dakwaan memplagiat novel karyanya berjudul Aku Bohsia.

Dalam penyata tuntutannya, Elias mendakwa menerbitkan novel itu pada 1995 menggunakan nama pena Anne Natasha Nita.

Plaintif mendakwa wujud banyak persamaan daripada aspek tema, plot, watak dan mesej dalam novel itu berbanding filem ‘Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam’ yang diterbitkan defendan pada 2009.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");