Perak Hari Ini

500 Terima Dana Pinjaman Pengajian Tinggi

IPOH: Seramai 500 orang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) kelahiran negeri Perak, Perak menerima dana pinjaman pendidikan masing-masing yang keseluruhannya berjumlah RM3.56 juta.

Ia disempurnakan dalam Majlis Serahan Cek Pinjaman Pengajian Tinggi Kerajaan Negeri Sesi 2018/2019 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Isnin.

Hadir merasmikan majlis, mewakili Menteri Besar, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar, Teknologi dan Penerangan, Dr Abdul Aziz Bari serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Ghazali Jalal.

Pada majlis berkenaan, daripada 500 orang penerima, 86 merupakan pelajar di peringkat diploma, 352 penerima ijazah sarjana muda, 45 daripada peringkat sarjana dan 17 penerima merupakan penuntut ijazah falsafah (PhD).

Selain itu, 32 orang penerima pula berjaya menerima anugerah pencapaian akademik cemerlang dan juga berjaya menukarkan status pembiayaan pendidikan mereka daripada pinjaman kepada biasiswa.

Mohd Ghazali ketika berucap pada majlis berkenaan berkata sehingga Disember 2017, seramai 3,283 peminjam masih lagi belum melangsaikan pinjaman pembiayaan masing-masing yang keseluruhannya berjumlah RM12.833 juta.

Sementara itu, difahamkan Kerajaan Negeri Perak kini merancang untuk menyemak semula peruntukan pembiayaan pinjaman pengajian pendidikan tinggi dalam belanjawan negeri yang akan datang.

Jumlah dana sekitar RM6 juta yang diperuntukkan kemungkinan juga akan dipertingkatkan namun, ianya akan merujuk kepada kedudukan semasa kewangan negeri.

Dengan inisiatif dalam mengekang pembaziran dan ketirisan yang sedang dijalankan, kerajaan negeri berharap ianya mampu untuk dilaksanakan.

Difahamkan juga, agensi kerajaan negeri yang lain, seperti Yayasan Perak juga akan berusaha bagi menambahkan dana pembiayaan pendidikan bagi memberi ruang yang lebih luas kepada anak-anak Perak untuk melanjutkan pelajaran di mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");