IPOH: Ketua Biro Ekonomi DAP Perak, Chong Zhemin mempersoalkan berkenaan bagaimana UMNO, MCA, Gerakan dan Pas mampu memperoleh hak pemilikan tanah di Perak semenjak tahun 2008.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Keranji itu berkata maklumat berkenaan diperoleh menerusi jawapan bertulis terhadap soalan lisannya yang tidak dijawab dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak semalam, kerana kesuntukkan masa.
Jelasnya, sehingga 27 Julai 2018, UMNO memiliki 27 hak milik tanah yang kesemuanya berkeluasan 28, 709.94 meter persegi, sementara MCA memiliki 7 hak milik tanah berkeluasan 2,014.35 meter persegi makala Gerakan pula 11 hak milik dengan tanah seluas 6,952.62 meter persegi.
Tambahnya, beliau juga mendapati Pas turut menerima satu hak milik tanah yang berkeluasan 16,364 meteri persegi, mengatasi jumlah keluasan tanah yang dimiliki MCA dan Gerakan.
“Saya nak lontarkan soalan kepada keempat-empat pemimpin parti ini. Bagaimana mereka mendapatkan hak tanah ini dan berapakah jumlah premium yang dibayar sejak 10 tahun lalu? Dan apakah kegunaan tanah ini?
“Kita faham mungkin kesemua tanah ini yang diluluskan adalah berdasarkan undang-undang tapi adakah ia wajar?
“Adakah wajar sebuah kerajaan negeri yang terdiri daripada parti-parti politik pemerintah ini dahulu meluluskan tanah untuk parti mereka. Mungkin ia ada unsur konflik kepentingan,” katanya dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Khamis.
Beliau juga turut mempersoalkan bagaimana Pas yang bukan daripada blok parti pemerintah sebelum ini boleh mempunyai satu hak milik tanah sedangkan parti-parti komponen yang lain tidak.
Walau bagaimanapun, Zhemin berkata pihaknya tidak mendapat maklumat terperinci berkenaan tarikh dan hak pemilikan tanah keempat-empat parti politik tersebut.
Beliau berkata perkara ini telah dimaklumkan kepada Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu.
“Jika soalan lisan ini dapat ditanya dalam dewan semalam, mungkin saya boleh berikan soalan tambahan,” jelasnya.