KUALA LUMPUR: Dua ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) hari ini mendakwa Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Md Yusop Mansor memalukan reputasi antarabangsa Malaysia selepas mengatakan pilihan raya umum Kemboja “sangat telus”, “demokratik” dan “boleh dipercayai”.
Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, ini disebabkan pilihan raya itu dikutuk oleh Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat sebagai tidak bebas, tidak adil, palsu dan tidak demokratik.
“Kami sebagai anggota Asean Parliamentarians For Human Rights (APHR) sangat tidak berpuas hati apabila seorang pegawai Malaysia mengambil bahagian sebagai pemerhati antarabangsa dalam pilihan raya ini,” kata mereka pada sidang media di lobi Parlimen.
Pada 30 Julai lalu, Channel News Asia dilaporkan memetik pemerhati Malaysia Md Yusop sebagai berkata pilihan raya Kemboja “sangat telus”, “demokratik” dan “boleh dipercayai”.
Mengulas lanjut, pemimpin dari PKR dan DAP itu meminta penjelasan daripada kerajaan sama ada Md Yusop berada di Kemboja mewakili kerajaan atau dalam kapasiti peribadi.
“Dan sama ada apa-apa tindakan akan diambil terhadapnya,” katanya.
Mereka turut mengingatkan kerajaan agar segera memperbaharui SPR bagi memastikan semua ahlinya benar-benar komited kepada pilihan raya yang terbuka, bebas dan adil di negara ini.
“Kita akan mengadakan 2 pilihan raya kecil dalam beberapa minggu ini dan SPR mesti membuktikan kepada rakyat bahawa ini adalah sebuah institusi yang reformasi dan boleh dipercayai,” tegasnya.