Berita Hari Ini

Bekas Duta: Mengarut Dakwa Lawatan Dr M ke China Satu Bencana

PETALING JAYA: Dua bekas diplomat menyangkal dakwaan kunjungan perdana menteri ke China ialah “bencana diplomatik” kerana ia bukan tugas mudah untuk membangkitkan isu pemansuhan atau penangguhan projek berbilion ringgit diketuai China disebabkan keadaan kewangan Malaysia ketika ini.

Datuk Dennis Ignatius dan Datuk Redzuan Kushairi berkata demikian susulan artikel yang disiarkan Malaysiakini menyifatkan lawatan rasmi itu sebagai “bencana” kerana tiada perjanjian besar dimeterai.

Artikel itu turut menyatakan Dr Mahathir dalam satu sidang media berkata, negara kaya tidak patut menjajah negara lain dan syarikat China terpaksa memberi 30% saham kepada Barisan Nasional untuk projek di Malaysia, serta ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jhow dipercayai berada di China walaupun beliau tidak menunjukkan bukti terhadap dakwaan itu.

Ignatius yang juga bekas duta Malaysia ke Kanada berkata, kunjungan Dr Mahathir itu menghantar mesej beliau menghargai hubungan baik dengan China dan komitmennya untuk meningkatkan hubungan itu.

“Ia sebahagian daripada proses diplomatik, politik dan undang-undang yang panjang serta sukar untuk bebas daripada perjanjian teruk ditandatangani kerajaan lama.

“Tiada orang mengharapkan penyelesaian cepat,” katanya sambil menambah tidak realistik untuk sesiapa pun menjangkakan perjanjian besar dengan China akan berhasil kerana kerajaan Pakatan Harapan baru mentadbir negara.

Beliau berkata, tidak mungkin Dr Mahathir merujuk kepada China apabila bercakap mengenai negara kaya menjajah negara lain kerana perdagangan antara 2 negara lebih memihak kepada Malaysia.

Mengenai hubungan diplomatik, Ignatius mengakui pendapat popular yang hubungan dengan Beijing adalah baik di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun, katanya, ia mendatangkan kesan dari segi kontrak berat sebelah yang menggunakan wang pinjaman untuk pembinaan infrastruktur yang tidak mampu ditanggung Malaysia.

“Itu bukan hubungan baik yang kita mahu.”

Redzuan yang merupakan bekas duta Malaysia ke Uzbekistan, memuji Dr Mahathir yang pergi ke Beijing sendiri untuk menjelaskan keadaan Malaysia kepada pemimpin negara itu.

Katanya, keadaan semasa negara memerlukan kejujuran, keikhlasan dan keterbukaan sebagai pendekatan terbaik.

“Ia lebih baik daripada meneruskan projek itu dan terpaksa berdepan beban hutang dengan China yang kita tidak mampu tanggung. Beijing sepatutnya menghormati dan menghargai pendekatan sedemikian.”

Redzuan yang menganggotai kumpulan bekas penjawat awam G25 berkata, Malaysia mempunyai peranan dalam inisiatif “One Belt One Road” (Obor) China dan ia tidak akan berjaya jika projek Obor di Malaysia gagal.

“Keputusan Dr Mahathir dalam projek China memberi mereka alasan baik untuk menilai bagaimana mereka patut memacu Obor, yang jelas memerlukan tadbir urus baik, ketelusan dan akauntabiliti.”

Semalam, Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong memberi amaran keputusan Putrajaya membatalkan 3 projek diketuai China akan menjejaskan hubungan dengan negara itu kerana projek itu sebahagian daripada Obor.

Melalui inisiatif itu, Beijing melaksanakan projek bernilai AS$926 bilion di sepanjang laluan strategik darat dan laut sejauh 15,000km.

Tiga projek yang dibatalkan itu ialah projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP).-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");