IPOH: Penggendali Perak, Mehmet Durakovic berharap dua pemain tonggak, Sharul Mohd Saad dan Amirul Azhan Aznan mampu diturunkan bagi perlawanan menentang Terengganu dalam saingan Piala Malaysia kumpulan A di Ipoh, Sabtu ini.
Kedua-dua pemain yang mengalami kecederaan paha sudah menjalani latihan bersama pasukan sejak minggu lalu, namun tidak diturunkan dalam perlawanan pembukaan menentang Felcra FC di Ipoh yang berakhir 0-0.
“Mereka sudah berlatih dan saya berharap mereka boleh diturunkan dalam perlawanan kedua kami,” katanya.
Durakovic berharap pemain melupakan kegagalan ketika menentang Felcra FC dan bangkit untuk menebus kekecewaan itu.
Begitupun jurulatih itu sedar tugas sukar menanti anak buahnya kerana menentang pasukan yang moral sedang meningkat selepas permulaan baik.
“Pertembungan ini pasti tidak mudah. Terengganu bukan calang-calang pasukan.
“Ia memiliki khidmat pemain tempatan dan import berwibawa. Kami menempah masalah jika tidak cukup bersedia.
“Itu sebabnya kehadiran Shahrul dan Azahan untuk perlawanan ini bertepatan agar saya dapat membuat percaturan dan merencana strategi ampuh,” katanya.
Pada masa sama jurulatih itu berharap jentera serangan Perak akan lebih menyengat kali ini.