Perak Hari Ini

Fokus Terus Tingkatkan Jaringan Telekomunikasi Setiap Kawasan

IPOH:Proses menambah baik infrastruktur dan perkhidmatan telekomunikasi sentiasa diberi perhatian oleh Kerajaan Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi, Hasnul Zulkarnain Abd. Munaim berkata ia bukan sahaja penting untuk menghubungkan rakyat tetapi juga menjadi asas pembangunan ekonomi menerusi industri berintensif pengetahuan dan teknologi serta ekonomi digital.

Katanya, keutamaan kini diberikan kepada rakyat dari segi peluasan kawasan liputan selular dan kepantasan jalur lebar supaya rakyat dapat berhubung dan tidak tersisih daripada mendapatkan maklumat terkini.

“Fokus Kerajaan adalah untuk menyediakan infrastruktur yang mencukupi bagi memenuhi keperluan masyarakat pengguna secara saksama di seluruh pelusuk negeri.

“Fokus akan diberikan kepada liputan dan kelajuan akan dipertingkatkan melalui cara ini, rakyat di seluruh negeri akan dapat merasai penggunaan Internet sama laju seperti sama ada berada di kawasan bandar atau luar bandar,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi pergulungan persidangan pertama Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Jelasnya lagi, peningkatan kelajuan sedang dilaksanakan secara berperingkat di kawasan bandar melalui pelaksanaan projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB).

Sementara itu, di kawasan luar bandar pula katanya usaha untuk meningkatkan kelajuan sedang dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif yang dirancang seperti projek Jalur Lebar Tinggi Bandar (SUBB), projek Jalur Lebar Luar Bandar (RBB) dan juga projek-projek lain di bawah Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP).

“Pentadbiran ini juga sedaya upaya berusaha meningkatkan kutipan hasil kepada kerajaan negeri Perak dengan melaksanakan inisiatif-inisiatif yang dapat membantu agensi, jabatan dan juga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Antaranya, penambahbaikan prosedur permohonan baru dan pembaharuan permit menara telekomunikasi serta memperkemaskan tatacara dan menyelaras permohonan serta kelulusan permit pembinaan menara telekomunikasi di negeri Perak yang mana diharapkan kelak dapat membantu pihak berkuasa tempatan menangani ketirisan hasil serta meningkatkan kecekapan penjanaan pendapatan kerajaan,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai program pemutihan Menara pemancar komunikasi yang didirikan tanpa kelulusan, Kerajaan negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Bil. 1943 bertarikh 27 Jun lalu telah bersetuju untuk melaksanakan tindakan pemutihan menara telekomunikasi yang didirikan secara haram dengan memberi kelonggaran kepada semua syarikat/ pemilik menara telekomunikasi untuk memohon kelulusan daripada pihak PBT selewat-lewatnya pada 31 Julai 2018.

“Sekiranya syarikat dan pemilik menara telekomunikasi yang berkenaan masih gagal mengemukakan permohonan sehingga tarikh akhir seperti yang telah ditetapkan, pihak PBT bersama agensi-agensi yang berkaitan akan mengambil tindakan penguatkuasaan berlandaskan peruntukan undang-undang yang sedang berkuatkuasa,” katanya.

Berikutan tindakan pemutihan tersebut, sebanyak 283 menara haram telah diisytiharkan oleh syarikat telekomunikasi dan pemilik struktur pemancar komunikasi setakat 31 Julai 2018 dengan anggaran kutipan sebanyak RM2.4 juta untuk kelulusan permit pembinaan dan cukai taksiran am.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");