IPOH: Kerajaan Negeri Perak akan bertemu dengan pihak sebuah syarikat swasta bagi mendapatkan maklumat berkenaan tanah seluas 250 ekar di kawasan Gua Tempurung berikutan ia dilaporkan gagal dimajukan.
Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan syarikat tersebut berhubung kelangsungan kerjasama antara dua pihak bagi meneruskan pembangunan di tanah tersebut, sebagaimana yang telah dirancang.
Pada massa sama, beliau juga tidak menolak kemungkinan akan menggunakan saluran undang-undang bagi mendapatkan semula tanah tersebut, jika ianya secara jelas gagal dibangunakan seperti yang telah ditetapkan.
“Kelulusan tanah ini kepada syarikat telah diluluskan pada 30 Januari 2008 untuk pegangan selama lima tahun, daripada pentadbiran Barisan NAsional (BN).
“Namun, apabila berlaku peralihan kuasa, pada September 2008, tempoh pegangan ini dilanjutkan daripada lima tahun ke 99 tahun. Namun satu syarat telah diperketatkan.
“Pemaju dan pemohon mestilah memajukan tanah dalam masa 24 bulan daripada hak milik didaftarkan. Hak milik tanah ini pula didaftarkan pada 8 April 2010 dan apabila sekali lagi peralihan kuasa, kerajaan meneruskan pegangan hak milik kepada syarikat berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (BN-UMNO Pangkor) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, hari ini, pada Rabu.
Sementara itu, Ahmad Faizal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang berkata tanah tersebut kini dipenuhi tanaman haram yang melibatkan penanaman kelapa sawit dan tanaman dusun.
Ketika menjawab soalan tambahan R. Terence Nidu (PH-DAP Pasir Bedamar) yang mewakili Nga Kor Ming (PH-DAP Aulong) Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri akan memperuntukan tindakan undang-undang kerana didapati pemilik tanah tersebut gagal membayar cukai kepada kerajaan negeri sehingga kini.