Perak Hari Ini

Isu Tanah: MB Perak Tegur Exco Keluarkan Kenyataan Bercanggah

TAPAH:Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu tampil memberi teguran terhadap seorang exco yang bertindak mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan kepimpinan Kerajaan Negeri mengenai isu status tanah di negeri ini.

Katanya, beliau sendiri menasihati ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) dan pemimpin Pakatan Harapan untuk menerima pandangan pemimpin teratas serta tidak bercanggah dengan Perlembagaan dan manifesto Pakatan Harapan di Perak.

“Saya tidak mahu panjangkan perkara ini kerana masing-masing ada pandangan tersendiri dan sudah agak jelas dalam ucapan pengulungan saya namun apa sahaja keputusan itu kelak perlulah bertepatan dengan Perlembagaan, kehendak rakyat serta bersesuaian dengan manifesto.

“Kita rujuk pemimpin tertinggi yang boleh beri pandangan dan keputusan mengenainya.

“Pada mulanya saya tidak begitu seronok dengan barisan exco beri pandangan berbeza dengan pemimpin kerajaan melalui media massa,” katanya selepas menghadiri majlis Korban Aidil Adha di Masjid Mukmin Kampung Batu Tiga Chenderiang di sini hari ini.

Katanya, ahli MMK dan sesiapa juga boleh bagi pandangan terbuka kepadanya serta secara tertutup di pejabat bukannya secara terbuka melalui media.

“Tetapi ia pengalaman baru bagi ramai orang termasuk saya sendiri mungkin boleh diperbaiki jangan kita menunjukkan perbalahan dan jangan tunjuk perbezaan pandangan di umum tetapi saya bersifat positif mungkin beliau ada niat baik yang perlu saya dengar.

“Kita ada sistem ada pemimpin yang perlu kita dengar pandangan dan ikut arahan dan disiplin sebagai ahli MMK perlu diperbaiki malah masing-masing perlu faham pada bila masa dan ketika kita mahu keluarkan pandangan bukan boleh kita boleh cakap sesuka hati,” katanya.

Ahmad Faizal ketika dalam ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini berkata, kerajaan negeri tidak boleh memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada Kampung-kampung Baru kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun Aziz Bari pula dalam sidang akbarnya berkata, hal ehwal tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan bukan tertakluk kepada Majlis Tanah Negara (MTN), justeru menegaskan kenyataan yang mengatakan pemberian tanah hak milik kekal bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, adalah salah sama sekali.

Ahmad Faizal turut mengakui tidak ditekan oleh mana-mana pihak dan tidak mempunyai sebarang masalah dengan barisan kepimpinan exco.

“Saya yakin perkara ini boleh selesai dan kerajaan negeri pemimpin saya sedang menjalankan tugas sebaik mungkin kerana rakyat sedang memerhati.

“Mereka mahu kerajaan yang telus berterus terang tunaikan janji secara semborono itu,” katanya.

Berikutan isu tersebut Kerajaan Negeri katanya melalui mesyuarat kerajaan negeri (MMK) akan ada mengadakan sebuah bengkel bagi memikirkan cara pelaksanaan manifetso Pakatan Harapan di negeri ini.

“Bengkel ini kita boleh bincangkan semua isu termasuk isu tanah dan saya dapati ada pandangan agak berbeza iaitu ada yang mengatakan tidak melanggar Perlembangaan dan melanggar Perlembagaan.

“Semua sedia maklum kerajaan persekutuan dan Kerajaan Perak adalah kerajaan Pakatan Harapan, Majlis tanah negara pula dipengerusi oleh pemimpin yang memimpin Pakatan Harapan Malaysia jadi tiada masalah untuk kita membawa kedua pandangan kepada majlis Tanah Negara untuk kepimpinan pusat memberi arah tuju yang jelas mengenai perkara ini.

“Kita hidup berlandaskan perlembagaan Persekutuan jangan kita kotak-katikkan apabila digunakan sekian lama,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");