Jenayah

Jual Diri Guna Wechat

BINTULU: Kegiatan pelacuran membabitkan tiga wanita warga asing dan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 20-an menggunakan aplikasi Wechat berjaya ditumpaskan malam tadi.

Serbuan kira-kira jam 8 malam itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu di sebuah hotel di Jalan Tanjung Batu, di sini susulan maklumat risikan.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili, berkata hasil siasatan awal mendapati kesemua wanita terbabit bertindak secara sendirian dengan mempromosikan perkhidmatan mereka melalui laman sosial, termasuk Wechat.

“Ketika serbuan dilakukan malam tadi, kesemua wanita itu berada dalam bilik hotel menunggu pelanggan mereka yang sudah membuat tempahan.

“Turut dirampas empat telefon bimbit, tiga pasport, 14 kondom, krim pelincir seks jenis KY Jelly dan wang tunai berjumlah RM4, 083 dipercayai hasil dari kegiatan haram itu,” katanya memetik sumber Berita Harian.

Zulkipli berkata, berdasarkan modus operandi digunakan, wanita terbabit menjalankan aktiviti persundalan melalui aplikasi Wechat bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Setiap pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat mereka akan menghubungi mereka dan menetapkan bilik hotel yang akan digunakan bagi melampiaskan nafsu.

“Hasil soal siasat dijalankan, mendapati, setiap pelanggan dikenakan bayaran sebanyak RM230 selama 45 minit untuk memuaskan nafsu masing-masing,” katanya.

Sementara itu, seorang daripada wanita terbabit bertindak nekad terjun dari tingkat satu hotel berkenaan bagi mengelak dicekup pihak berkuasa.

Bagaimanapun, cubaannya meloloskan diri gagal selepas kawasan persekitaran premis berkenaan sudah dikepung polis

“Suspek yang mengalami kecederaan itu, kini sedang diberikan rawatan di Hospital Bintulu,” katanya.

Kesemua wanita berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan atas kesalahan memperdagangkan tubuh.

Tiga wanita warga asing itu juga berdepan siasatan mengikut Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana salah guna pas lawatan sosial dikeluarkan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");