IPOH:Faktor gaji yang tidak lumayan antara punca belia kurang berminat berkhidmat di Perak dan sekaligus menyebabkan isu migrasi berlaku.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Hal Ehwal Pengguna,Masyarakat Sivil,Integrasi Nasional dan Sumber Manusia A.Sivanesan berkata peluang pekerjaan di negeri ini masih terbuka luas namun faktor gaji yang lumayan di bandar besar seperti Kuala Lumpur,Selangor dan Pulau Pinang mengalakkan faktor migrasi atau penghijrahan penduduk di negeri ini.
“Isu penghijrahan atau migrasi dari luar bandar ke bandar ini bukan hanya menjadi perhatian pada peringkat negeri tetapi isu nasional dengan peningkatan tenaga kerja khususnya golongan profesional berhijrah ke negeri lain.
Terdapat beberapa faktor berlakunya permasalahan seperti modenisasi pertanian penggunaan jentera dan pengeluaran komersil,upah yang rendah,kurang kemudahan asas,pendidikan dan pengangguran kesihatan hingga memerlukan migrasi bagi mengubah taraf hidup mereka.
Katanya, faktor migrasi atau penghijrahan penduduk Perak dari bandar ke luar bandar adalah untuk mencari peluang pekerjaan yang lebih baik serta pendapatan lebih lumayan.
“Kebanyakkan bidang pekerjaan pakar/tenaga mahir yang ditawarkan tidak terdapat di negeri ini,gaya hidup di bandar lebih bergaya dan lebih interaktif,” katanya semasa menjawab soalan lisan oleh Adun Changkat Jering Ahmad Saidi Mohamad Daud pada persidangan pertama Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini.
Katanya, dalam usaha mengurangkan jurang masalah ini kerajaan Negeri berusaha meningkatan peranan belia dalam menyuarakan pendapat serta pandangan mereka mengenai isu migrasi sebelum sebarang program dilaksanakan.
“Kerajaan negeri sentiasa percaya bahawa golongan belia mampu mengubah landskap permasalahan ini sekiranya belia diberi kepercayaan penuh dalam pelaksanaan sebarang projek atau program melibatkan belia di setiap daerah,” katanya.
Kerajaan negeri katanya akan berusaha untuk meningkatkan penglibatan belia dalam sektor keusahawanan bagi mewujudkan peluang pekerjaan dan industri baharu untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi di peringkat daerah negeri ini.
“Kita perlu menambah baik infrastruktur asas dalam mewujudkan persekitaran yang selesa untuk golongan belia,” katanya.