Perak Hari Ini

Kerajaan Negeri Pimpinan PH Perak Selesai Tandatangan IBR

IPOH: Kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Pakatan Harapan (PH) dan ketua-ketua jabatan kerajaan negeri Perak pagi tadi sempurna menandatangai Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, ia merupakan sebahagian daripada titik permulaan bagi kepimpinan PH dalam melaksanakan janji Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) iaitu melakukan pengisytiharan harta.

Jelasnya, sehingga kini terdapat beberapa ADUN dan Exco kerajaan negeri yang sudahpun lebih awal menyerahkan maklumat pengisytiharan harta mereka kepadanya.

Menteri Besar turut menegaskan semua syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) juga akan diarahkan untuk berbuat demikian.

“Antara perkara-perkara lain yang kita buat dalam pentadbiran sekarang adalah membuka tender bagi semua kontrak kerajaan. Tiada lagi rundingan secara terus.

“Tapi pada masa sama, saya perlu tegaskan ada beberapa perkara yang ada pengkhususan yang tidak ramai dalam kalangan rakyat terlibat dalam urusan tertentu.

“Saya tidak mahu di masa akan datang ia dianggap kita telah melanggar janji. Tapi untuk tender kontrak, perkara itu kita akan buka dan buat pemilihan secara telus,” katanya kepada pemberita selepas penyempurnaan Majlis IBR, dekat sini, pada Selasa.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata sebagaimana yang dipersetujui Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR), semua anggota pentadbiran PH yang telah melaksanakan IBR, hendaklah melakukan pengisytiharan harta dalam tempoh tiga bulan.

Ujarnya, segala maklumat pengisytiharan harta itu juga akan dimuatnaik ke laman portal SPRM dalam satu masa yang akan diberi tahu kelak.

“Kalau dahulu, semua pengisytiharan harta hanya akan diberikan kepada Perdana Menteri, Menteri Besar ataupun Ketua Menteri.

“Tetapi, sekarang ini, semua pengisytiharan harta yang dibuat anggota pentadbiran akan disalin dan diserahkan juga kepada SPRM,” katanya.

Tambahnya, Perak merupakan negeri pimpinan PH yang kedua selepas Melaka dan difahamkan ia akan disertai Johor pada esok.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");