IPOH: Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming melahirkan rasa kecewanya atas keputusan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dilaporkan telah menolak jawatan pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Ujarnya, jawatan tersebut merupakan suatu jawatan yang penting bagi melicinkan proses imbang dan periksa terhadap pentadbiran negara.
“Saya tidak tahu sebab apa beliau tidak berani pikul amanah dan jawatan penting ini.
“Sebenarnya Pengerusi PAC ini jawatan yang cukup berprestij dan merupakan jawatankuasa yang berhak memanggil sesiapa sahaja untuk memberi kenyataan dalam mesyuarat PAC.
“Dia boleh panggil sesiapa sahaja termasuk Menteri, Perdana Menteri, dan Ketua Polis Negara untuk memberi kenyataan di mesyuarat PAC,” katanya dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Selasa.
Media melaporkan Bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee bakal dilantik sebagai Pengerusi PAC hari ini.
Difahamkan ia dimaklumkan secara tidak rasmi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong dalam satu mesyuarat yang turut dihadiri Zahid pada Khamis lepas, di Parlimen.
Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh pula dilaporkan akan dilantik sebagai timbalan pengerusi jawatankuasa tersebut.