IPOH:Kerajaan negeri menegaskan cadangan mengiktiraf Unified Examination Certificate (UEC) bukanlah sebahagian janji 100 hari Pakatan Harapan.
Exco Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar, Dr Abdul Aziz Bari berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedia maklum bahawa pengiktirafan UEC sebagai kelayakan masuk ke universiti awam, tersenarai sebagai salah satu manifesto kerajaan baharu.
Malah katanya pengiktirafan UEC perlu dilihat secara menyeluruh dan sewajarnya keputusan tidak dibuat secara terburu-buru.
“Bagi tujuan itu, KPM sedang menjalankan kajian yang menyeluruh, mengumpul pandangan daripada pelbagai pihak yang berkepentingan secara konsensus dengan mengambil kira kepentingan bahasa Melayu dan keharmonian antara kaum,” katanya pada sesi pergulungan persidangan pertama Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Katanya KPM akan memastikan isu UEC tidak menjejaskan kedudukan dan kepentingan Bahasa Melayu, serta tidak menjejaskan perpaduan dan keharmonian antara kaum di negara Malaysia yang kita cintai ini.
Mengulas mengenai permohonan untuk pembinaan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Manjung,Unit Perancang Ekonomi (EPU) telah Meluluskan sebanyak RM66.54juta pada Julai 2017 hanya untuk menampung 600 pelajar (300 Lelaki dan 300 perempuan) sahaja.
“Makmal pemurnian VM telah diadakan semula pada 8hb Mac 2018 dan EPU meluluskan peruntukan sebanyak RM87.17 juta bagi menampung 750 pelajar lelaki dan perempuan termasuk 16 unit kuarters guru.
“Walaubagaimanapun, projek ini telah disenaraikan sebagai projek KPM yang ditangguhkan/dibatalkan mengikut surat dari UPE bertarikh 7 Jun lalu dan sekiranya projek Ini masih menjadi keperluan, KPM perlu memohon dalam RMK yang akan datang dan ia perlu lakukan oleh Bahagian SBP di KPM dan bukannya dari Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Perak,” katanya.