Berita Hari Ini

Malaysia Boleh Belajar Dari China

BEIJING – Malaysia perlu belajar daripada China tentang bagaimana sebuah negara besar dengan 1.4 bilion penduduk mampu memenuhi keperluan rakyatnya dari segi makanan, teknologi dan pekerjaan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata China mampu menyediakan makanan yang cukup untuk rakyatnya, malah mengeluarkan beras yang cukup untuk eksport juga.

“Malaysia dengan 30 juta penduduk, kita hanya dapat mengeluarkan beras 70 peratus daripada keperluan kita walaupun kerajaan menyediakan subsidi dan baja,” katanya kepada wartawan Malaysia pada akhir lawatan rasmi lima hari beliau ke China, lapor Bernama.

Dr Mahathir melawat Akademi Sains Pertanian dan Taman Sains Pertanian dan Inovasi Teknologi Nasional China di sini pada Selasa.

Rakyat Malaysia boleh belajar mengenai pemasaran dalam talian bagi menjual produk mereka bukan saja untuk pasaran tempatan tetapi juga di seluruh dunia, kata Dr Mahathir ketika mengisahkan pengalamannya selepas melawat ibu pejabat Alibaba Group di Hangzhou pada Sabtu dan mengadakan pertemuan dengan pengasas bersama syarikat itu Jack Ma.

“Orang kampung boleh bekal ke seluruh negara, malah seluruh dunia, dengan menjual produk secara online. Kita tidak harus tinggal dalam kemiskinan,” kata Dr Mahathir.

Menceritakan pengalamannya menaiki keretapi berkelajuan tinggi dari Hangzhou ke ibu negara ini pada Sabtu, perdana menteri berkata keretapi berkelajuan tinggi Malaysia (HSR) sebenarnya tidak perlu.

“Keretapi itu bergerak pada kelajuan 300 km sejam. Anda tidak memerlukan keretapi berkelajuan tinggi untuk 350 km dari KL ke Singapura,” katanya.

Dr Mahathir menyelar pemimpin terdahulu beliau, Datuk Seri Najib Tun Razak, kerana sanggup membelanjakan RM72 bilion semata-mata untuk menjimatkan masa perjalanan hanya beberapa minit.

“Najib cukup bodoh. Anda tidak perlu membelanjakan RM72 bilion hanya untuk menjimatkan masa perjalanan beberapa minit sahaja,” katanya.

Mengenai perkara lain, Dr Mahathir berkata Malaysia boleh juga belajar bagaimana China dapat menyediakan pekerjaan untuk 15 juta siswazah universiti dan lulusan sekolah setiap tahun.

“Kita menghadapi banyak pengangguran di Malaysia kerana tidak dapat menyediakan pekerjaan yang cukup… tapi memang, ada yang sengaja tak mahu bekerja,” kata beliau.

Semalam, Dr Mahathir telah berlepas ke Kuala Lumpur.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");