Perak Hari Ini

MB Gesa Orang Asli Utamakan Pendidikan Anak-anak

SIMPANG PULAI: Masyarakat Orang Asli digesa untuk berubah dalam mementingkan soal pendidikan khususnya buat anak-anak mereka.

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata, hanya kejayaan dalam bidang pendidikan sahaja yang mampu memajukan masyarakat Orang Asli di semua peringkat.

Beliau turut melahirkan kekesalan terhadap segelintir keluarga dalam masyarakat tersebut yang sengaja memandang ringan soal pendidikan anak-anak mereka sendiri.

“Di sini ada disediakan tadika namun saya dengar ada yang tidak menghantar anak mereka ke tadika ini.

“Katanya susah hati, bimbang kepada anak-anak. Macam-macam alasan diberi. Kalau kita hidup dengan alasan, kita tidak akan berjaya.

“Saya minta maaf tetapi dalam soal ini saya harus berterus-terang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Chinta Bistari di Pusat Kecemerlangan Pendidikan Orang Asli Perak, dekat sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Pengerusi MHC Plantation, Mah King Thian; Pengerusi Yayasan Orang Asli Perak (YOAP) Datuk Suki Mee serta Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Perak Kedah, Hairulnizam Abd Rahman.

Pada masa sama, Menteri Besar turut mengingatkan agar masyarakat Orang Asli dapat menjaga khazanah tanah yang berada di sekeliling mereka dengan baik.

Ujarnya, terdapat segelintir dalam kalangan masyarakat Orang Asli yang bekerjasama dengan pemburu asing haram bagi memasang perangkap di hutan untuk menangkap hidupan-hidupan liar yang terancam demi wang ratus ringgit.

“Pada masa sama, ada juga kalangan mereka yang bekerjasama dengan kerajaan, ranger dan agensi-agensi kita untuk mengutip pula perangkap itu.

“Kalau kita nak tanah, kena jaga tanah. Tapi jangan biarkan orang luar rosakkan bumi kita.

“Ada juga mereka yang bekerjasama dengan pembalak-pembalak haram,” tegasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");