IPOH: Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu menafikan penglibatanya mahupun mana-mana agensi kerajaan negeri, secara langsung ataupun tidak langsung, dalam penganjuran sebuah majlis makan malam yang menampilkan seorang penyanyi wanita berpakaian seksi, yang tular di media sosial.
Dalam sebuah rakaman video berdurasi 1 minit 24 saat itu turut kelihatan, skrin yang menjadi tirai latar majlis yang memaparkan wajah Menteri Besar dan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran dengan perkataan penghargaan kepada kedua-dua pemimpin tersebut.
Berdasarkan video yang sama, difahamkan ia merupakan acara Makan Malam Amal Ratu Kebudayaan Yang ke-14 Tahun 2018, Ratu Kebaya, Ratu Sari, Ratu Cheongsam, Persatuan Kebudayaan dan Pelancongan Kinta Perak yang diadakan semalam.
Pihak penganjur juga didapati meletakkan logo jata negeri, logo Tahun Melawat Perak 2017 serta Tourism Perak pada tirai latar tersebut.
Menerusi satu kenyataan, hari ini, Ahmad Faizal berkata pihaknya tidak menerima sebarang maklumat berkenaan tajaan ataupun kehadiran wakil pejabat Menteri Besar mahupun mana-mana wakil kerajaan negeri ke majlis tersebut.
“Saya tidak pasti apakah niat pihak berkenaan berbuat demikian, tetapi saya memandang serius perbuatan berkenaan kerana ia melibatkan imej institusi Menteri Besar Perak dan juga kerajaan Perak keseluruhannya,” katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri telah mengarahkan mana-mana pihak yang ingin menggunakkan imejnya atas kapasiti Menteri Besar, Ahli Dewan Undangan Negeri ataupun Ahli Parlimen, terlebih dahulu hendaklah dirujuk kepada pejabat Menteri Besar.
Jelas Ahmad Faizal, ia bertujuan melindungi imej institusi Menteri Besar Perak dan kerajaan negeri secara keseluruhannya daripada sebarang acara ataupun aktiviti yang boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan rakyat.