KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menjalani pembedahan di Singapura bagi membuang ketumbuhan di pankreas dibenarkan keluar hospital hari ini.
Setiausaha Akhbarnya, Hafiz Abdul Halim, berkata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu akan berehat bersama keluarga buat masa ini.
“Terima kasih kepada semua doktor, jururawat serta kakitangan Hospital Mount Elizabeth Singapura.
“Terima kasih juga kepada semua yang mendoakan kesihatan dan meluangkan masa melawat Tan Sri Muhyiddin ketika beliau di sana,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhyiddin selamat menjalani pembedahan di Hospital Mount Elizabeth Singapura bagi membuang ketumbuhan di pankreas yang dikesan pada peringkat awal pada 12 Julai lalu.
Sepanjang dirawat di hospital berkenaan, ramai pemimpin termasuk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan timbalannya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong menziarahi Ahli Parlimen Pagoh itu.