Berita Hari Ini

Musa Terus Berahsia

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, yang sedang menerima rawatan di sebuah pusat perubatan di Subang Jaya, seakan nekad ‘mengunci mulut’ mengenai pelbagai perkara yang menyelubungi dirinya daripada ‘kaca mata’ umum.

Isyarat itu jelas terpancar bersandarkan bilangan pasukan keselamatan yang ditugaskan di pekarangan pusat perubatan itu bagi mengelak sebarang ‘cerita’ atau butiran mengenai susuk pemimpin berusia 67 tahun berkenaan dihidu ‘orang luar’.

Memetik laporan BH Online, kunjungan wartawan media tersebut di kamarnya yang terletak di bahagian VVIP, mendapati jururawat yang ditugaskan merawat pemimpin itu sentiasa ‘berwaspada’ dengan perkembangan sekeliling, termasuk identiti pelawat keluar masuk.

Seorang jururawat turut mendakwa bilik VVIP itu sebenarnya tidak berpenghuni tatkala dua wartawan cuba masuk menggunakan ‘tiket’ orang bawahan Musa.

Tinjauan mendapati kamar yang menempatkan Musa kelihatan gelap, namun kelibat seorang lelaki, dipercayai petugas keselamatannya sentiasa berlegar di muka pintu bilik berkenaan.

Pelawat yang bertali arus memasuki pekarangan pusat perubatan itu dan memenuhi ruangan lobi juga seakan bertindak ‘mengunci mulut’ setiap kali disapa wartawan.

Mereka enggan memperkenalkan diri, sama ada ahli keluarga atau pembantu Musa, selain menolak untuk ditemubual apabila diajukan soalan berhubung tahap kesihatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga itu.

Bagaimanapun, hampir 20 pelawat yang bertutur menggunakan dialek Sabah dilihat sentiasa memenuhi ruangan lobi hospital, termasuk peguam ternama, Amer Hamzah Arshad.

Amer ketika dihubungi pada mulanya enggan mengulas lanjut sama ada kehadirannya sekadar menziarah atau mewakili Musa yang terpalit dengan tindakan tuduhan ugutan jenayah.

Bagaimanapun, menerusi kiriman khidmat pesanan ringkas, Amer menjelaskan kehadirannya di pusat perubatan itu sekadar sebagai seorang rakan.

Musa sebelum ini dikehendaki polis berikutan laporan tuduhan ugutan jenayah membabitkan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, susulan kemelut pelantikan Ketua Menteri Sabah yang menyaksikan perebutan ‘takhta’ kerajaan negeri antara blok Barisan Nasional (BN) dan Parti Warisan Sabah pasca keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Setiausaha Politik Musa, Mohd Joh Wid, kelmarin, memuat naik sekeping gambar ADUN Sungai Sibuga itu sambil memaklumkan Musa membuat keputusan kembali ke tanah air walaupun tindakan berkenaan bertentangan nasihat pakar yang merawatnya di Hospital Clementine Chirchill, London, selain perlu dirujuk ke Hospital Mount Elizabeth, di Singapura untuk menerima rawatan susulan.

Ketibaan Musa ke Malaysia kemudian disahkan Jabatan Imigresen.

Musa sebelum ini didakwa melarikan diri ke United Kingdom pada 16 Mei lalu. Beliau bagaimanapun menafikan perkara itu, termasuk dakwaan bahawa cuba melarikan diri daripada berdepan tuduhan difailkan Yang di-Pertua Negeri Sabah dan keluar negara melalui laluan tidak sah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");