shadow

KUALA LUMPUR: Skuad Bawah 16 Tahun (B-16) Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) kini rancak melakukan persiapan rapi menjelang kejohanan Piala Asia Bawah 16 Tahun September ini.

Pengarah Kejurulatihan dan Pencarian Bakat PPBN, Yakub Hussaini berkata, beberapa perlawanan persahabatan diatur bagi menguji skuad utama B-16 tahun itu.

“Pasukan muda dari New Caledonia akan datang ke Akademi Mokhtar Dahari (AMD) hujung bulan ini.

“Mereka akan beraksi dalam tiga siri perlawanan persahabatan dengan pasukan kita.

“Manakala satu lagi skuad B-16 kini berada di Indonesia, mengharungi kejohanan Piala AFF.

“Dan skuad B-13 dan B-14 meneruskan latihan seperti biasa bagi menghadapi Kejohanan Piala Supermokh tidak lama lagi,” jelasnya ketika ditemui pada majlis pelancaran but baharu ‘Team Mode’ dari Adidas kepada pasukan AMD, Khamis.

Piala Asia Bawah 16 Tahun bakal berlangsung pada 20 September hingga 7 Oktober ini di Kuala Lumpur.

Mengenai perkembangan terkini tiga pemain PPBN yang menjalani latihan bersama Paris Saint Germain (PSG) Jun lalu, beliau memberitahu mereka semua telah kembali ke AMD.

“Kita dipanggil atas jemputan PSG dan pemain-pemain telah kembali menjalani latihan bersama skuad masing-masing.

“Bagi saya ia peluang yang baik kepada pemain mencari pengalaman dan apabila balik ke sini, mereka tetap dilayan sama rata seperti pemain-pemain lain.

“Tahun hadapan saya harap ramai lagi pemain akan dijemput oleh kelab-kelab di Eropah atau Timur Tengah.

“Untuk itu kita perlu memasarkan pemain-pemain kita dengan baik dengan menyertai kejohanan–kejohanan yang diadakan.

“Dari situ, pencari bakat negara mereka akan menilai pemain kita dan memanggil untuk menjalani latihan bersama.

“Ada juga jemputan dari Belanda, tetapi kita terpaksa perlahankan dahulu untuk tahun ini kerana tidak mahu terlalu terdedah. Kita ambil langkah satu persatu,” jelasnya.

Tiga pemain PPBN yang dijemput ke PSG selama seminggu pada Jun lalu termasuk Hazriq Haqqim Mohd Izham, Rohisham Haiqal Hashim dan Mohammad Haykal Danish. Kesemua mereka adalah dari skuad Bawah 13 Tahun.-Mstar

Komen & Pendapat