Panasnya Hari Ini

PAS Pun Ada Bantu LGBT, Kata Idris

Di sebalik kecaman dan sindiran yang dihalakan kepada PAS, parti itu mendakwa mereka adalah antara pihak yang tekal menyantuni golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Tambahan pula kata naib presidennya, PAS mendekati golongan terbabit seawal 2007 apabila parti itu membuka ibu pejabatnya di Jalan Raja Laut.

Menurut Idris Ahmad program tersebut berjalan sehingga kini.

“Bukan sahaja puak LGBT, malahan pelacur, penagih dadah, kanak-kanak terpinggir turut disantuni.

“Ia dikendalikan oleh Lajnah Kebajikan Pusat PAS pimpinan Dr Rosni Adam,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Idris PAS juga melaksanakan program korban khusus untuk golongan terbabit.

Katanya hampir setiap Jumaat Lajnah Kebajikan Pusat PAS menyediakan makanan percuma untuk 200 orang di kawasan berkenaan dan ia bergantung kepada sumber kewangan dan tajaan.

Mungkin sebab kecewa

“Mereka diberi tazkirah dan ada juga skuad pemuda dan lajnah yang turun berjumpa dengan golongan ini.

“Soal mereka hendak berubah atau tidak, ini bukan urusan kita, serahlah kepada Allah SWT,” katanya lagi.

Isu LGBT menjadi ‘panas’ seminggu dua ini disebabkan pelbagai perkembangan semasa yang berlaku dalam negara.

Antaranya kesan pertemuan dan kenyataan dikeluarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof dan timbalannya Fuziah Salleh.

Pertemuan Mujahid dengan aktivis komuniti transgender turut menarik perhatian ramai. Pada ketika tertentu Mujahid – bekas naib presiden PAS dan kini menjadi naib presiden AMANAH – dikecam bertubi-tubi.

Antara pihak yang mengkritik kerajaan – khususnya Mujahid – ialah penyokong PAS.

Pada masa sama PAS juga dikecam kerana didakwa hanya cekap mengkritik dan menghukum namun tidak memberi sumbangan ke arah menyelesaikan masalah.

Idris berkata tuduhan pihaknya tidak membantu golongan LGBT dibuat oleh pembenci dan perasaan itu mungkin didorong oleh rasa kecewa apabila idea mereka tidak diterima PAS.

“Yang pastinya memang dia ada masalah hati dengan PAS.

“Apa sahaja PAS buat mesti dia hentam.

“PAS tidak marah, tetapi jangan hentam membabi buta begitu sahaja. PAS sedia terima teguran (tetapi) jangan ambil maklumat daripada musuh PAS,” katanya.

Bekas anggota parlimen Bukit Gantang pada penggal lalu itu juga menasihati pengkritik agak membuat penyelidikan sebelum menghentam PAS.

“Kalau benci jangan sampai fitnah pula. PAS bukan minta dipuji. Aktivis PAS bekerja kerana Allah.

“Ada antara mereka (aktivis) tidak belajar tinggi sampai PhD, tetapi mereka istiqamah dalam kerja amal.

“Mereka bukan hanya sibuk memberi komen di media sosial, tetapi turun ke medan. Bukan bercakap tidak serupa bikin,” katanya.-Mkini

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");