Jenayah

Pasukan Khas PDRM, AELB Kesan RDD Hilang

SHAH ALAM: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) sudah menggerakkan pasukan khas bagi mengesan sebuah Alat Radiografi Perindustrian (RDD) yang dilaporkan hilang sejak 10 Ogos lalu.

Pasukan yang ditugaskan selama 24 jam itu antara lain menumpukan kepada pencarian alat yang mengandungi isotop radioaktif iaitu Iridium 192.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, berkata pihaknya setakat ini belum memperoleh petunjuk baharu bagi membantu siasatan kes itu.

“Bagaimanapun, pasukan kita sudah bergerak dengan AELB untuk mengesan RDD itu dan kerjasama berkenaan dilaksanakan selama 24 jam.

“Sehingga kini, kita belum menerima sebarang maklumat mengenai kemungkinan alat itu sudah dibawa keluar dari Selangor,” katanya pada sidang media selepas program Ibadah Qurban Perdana Peringkat Kontinjen Selangor di Surau Khalid Al-Walid, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, hari ini lapor berita harian.

Hadir sama, Canselor Universiti MAHSA, Tun Zaki Azmi dan Ketua Pegawai Penyelaras Lembaga Zakat Selangor (LZS), Abdul Basith Hamid.

Pada program anjuran bersama Universiti MAHSA, LZS dan dan Media Prima Berhad (MPB) itu, sebanyak 21 lembu dan 21 kambing dikorbankan untuk diagihkan kepada 80 asnaf dan mualaf serta kariah kawasan berkenaan.

NSTP sebelum ini melaporkan RDD, yang dikhuatiri disalah guna termasuk oleh pengganas bagi membuat bom, dilaporkan hilang.

Difahamkan, RDD itu hilang sejak 10 Ogos lalu selepas dipindahkan pada jam 2 pagi dari Seremban ke Shah Alam oleh dua kakitangan syarikat yang mengendalikan perkhidmatan ujian, senggaraan dan pemeriksaan membabitkan industri gas dan minyak, termasuk kilang jana kuasa, pembuatan, automotif serta pengangkutan.

Pencarian peralatan yang berupaya aktif selama 73 hari serta memancarkan radiasi Beta dan Gamma itu giat dilaksanakan oleh polis serta AELB.

Kebimbangan utama kedua-dua pihak ialah jika ia jatuh ke tangan pihak tidak sepatutnya seperti pengganas atau orang awam yang mungkin melihatnya sebagai besi terpakai bagi dijual mendapatkan wang.

Peralatan dianggarkan bernilai RM75,000 di pasaran dan mengandungi Iridium 192 itu adalah isotop radioaktif komersial paling kerap dicuri serta berpotensi disalah guna untuk membuat bom.

Pihak berkuasa belum dapat mengenal pasti motif kehilangan RRD itu sama ada berkaitan jenayah terancang atau keganasan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");