IPOH:Perwatakannya yang mesra dan tidak lokek senyuman menjadikan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu mudah didekati oleh rakyat dari semua peringkat.
Beliau yang lebih selesa menggelarkan dirinya ‘MB Peja’ mengakui pada mula agak kekok apabila perlu membawa perwatakan formal dalam sebarang acara rasmi.
“Saya mulanya mahu duduk di meja utama susah sangat, malah ketika baru sahaja menjadi pengerusi Pakatan Harapan pelbagai teguran terhadap perlakuan saya diterima.
“Saya lebih selesa untuk tidak terlalu serius, malah banting hari raya baru-baru ini saya suruh mereka ‘kartunkan’ diri saya,” katanya dalam nada gurauan.
Faizal turut mengakui beliau tidak terkesan apabila gambarnya ditularkan dan dijadikan bahan gurauan kerana itulah yang perlu dihadapinya sebagai seorang ahli politik.
“Saya tidak mahu berubah banyak asalkan saya tidak menjatuhkan maruah Negeri Perak itu sudah baik bukan?
“Saya sedar saya sudah tidak boleh keluar memakai seluar pendek sambil makan di Hollywood Canning Garden selepas ini perlu pakai pakaian yang elok dan sesuai supaya tidak dipertikaikan,” katanya.
Beliau turut mengakui untuk sedia ditegur sekiranya melakukan sebarang kesilapan kerana tegasnya manusia tidak lari daripada melakukan kesilapan dan tidak bersifat sempurna.
“Saya sebagai manusia boleh ditegur tetapi biarlah teguran itu membina kerana saya bukannya sempurna dan kadang kala perlu dikritik serta ditegur,” katanya menerusi sesi temuramah santai bersama Menteri Besar pada Selesa.
Gemar Bersongkok Senget
Mengulas mengenai gaya penampilannya yang gemar memakai songkok secara senget kata Faizal ia adalah cara pengayaan zaman dahulu dan cara yang sebetulnya memakai songkok oleh orang zaman dahulu.
“Songkok senget itu bagi pandangan saya itulah cara sebenar memakai songkok ada orang pakai lurus dan ia telah jadikan fesyen bagaimanapun saya ikut cara dan gaya yang asal,” katanya.
Belum Pindah Ke Kediaman Rasmi
Sehingga ke hari ini, Ahmad Faizal masih tidak menghuni kediaman rasmi Menteri Besar di Jalan Raja Di Hilir di sini.
“Bukannya tidak mahu duduk di sini, tetapi dari segi keselamatan tapak ini sudah tidak sesuai diduduki oleh seorang Menteri Besar,” katanya.
Berikutan itu hasil perbincangan lokasi kediaman telah berpindah ke rumah Setiausaha Kerajaan Negeri bagaimanapun rumah berkenaan masih dalam proses ubahsuai.
“Kediaman rasmi ini saya ingat boleh dijadikan kompleks kerajaan malah tapak ini juga mempunyai nilai hartanah yang tinggi jadi jika ia sesuai untuk sebarang pembangunan yang menguntungkan negeri itu adalah lebih baik,” katanya.
Katanya lagi, cadangan terhadap tapak baru bagi kediaman rasmi menteri besar telah diutarakan sekian lama oleh menteri besar terdahulu jadi kerajaan negeri akan mengenalpasti tapak bersesuaian agar kediaman tersebut mampu menjadi daya tarikan dan kunjungan semua pihak.
“Kediaman Menteri Besar perlu berada di lokasi yang baik bukan untuk saya tetapi untuk semua pihak anak cucu kita,” katanya.
Beliau pada sesi temuramah itu juga mengakui kesemua barisan exco negeri telah menunjukkan prestasi yang baik bagi tempoh pentadbiran baru ini yang menjangkau hampir tiga bulan ini.
“Adalah tidak adil bagi kita menilai prestasi mereka dan saya sendiri cuma dalam tempoh tiga bulan ini namun setakat ini semua exo menunjukkan semangat dan prestasi yang baik,”katanya.