IPOH: Ketua Srikandi PKR, Siti Aishah Shaik Ismail berkata pihaknya masih lagi belum menerima sebarang butiran kenyataan mahupun panggilan rasmi berhubung isu pelantikannya sebagai Penasihat kepada Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu.
Jelasnya, beliau juga tidak mengambil sebarang pendekatan untuk bertanya mahupun mendesak mana-mana pihak bagi jawatan yang bertaraf Exco kerajaan negeri itu.
Siti Aishah berkata beliau buat masa ini hanya mahu memberi fokus kepada urusan parti khususnya proses perjalanan pemilihan parti yang sedang berlansung.
Ketika ditanya sekiranya menerima panggilan tersebut buat masa terdekat beliau berkata ianya akan diserahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi parti selain meneliti secara jelas jawatan tersebut supaya ianya tidak mengatasi mana-mana tugas Exco yang lain.
“Kalau berlaku panggilan, saya akan hadir dan berbincang terlebih dahulu dengan Menteri Besar dan barisan Exco kerajaan negeri yang lain supaya adanya penyelarasan bidang kuasa berlaku.
“Saya tidak mahu dikatakan keberadaan saya menganggu kerja mana-mana pihak lain kerana tujuan dan tumpuan saya kepada rakyat ialah sebagai mahu mengimbangu kedudukan PKR bersama dengan rakan-rakan Pakatan Harapan (PH)negeri Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media Penamaan Calon Pemilihan PKR Perak, di Pejabat Majlis Pimpinan PKR Perak, dekat sini, pada Ahad.
Sebelum ini, Ahmad Faizal berkata pelantikan Siti Aishah sebagai penasihat Menteri Besar dipersetujuan pimpinan PH negeri.
Jelasnya, Siti Aishah akan diberi tugas sebagai mendekati golongan belia di seluruh Perak selain membantu Exco Kerajaan negeri, Howard Lee Chuan Chow bagi mengadakan pelbagai program yang melibatkan belia dengan prospek yang besar.