Jenayah

Pemandu Bas Rapid KL Positif Dadah

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan pemandu bas Rapid KL berusia 32 tahun yang merempuh tujuh kenderaan di Jalan Ampang malam tadi positif dadah jenis methamphetamine.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata lelaki itu kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Siasatan dijalankan oleh polis Kuala Lumpur dan Selangor. Pemandu itu ditahan oleh polis Ampang memandangkan kejadian pertama berlaku dalam kawasan mereka.

“Siasatan bagaimanapun masih berjalan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Op Khas Rondaan Cegah Jenayah Pelatih Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di Esplanade KLCC, di sini, hari ini, lapor BH Online.

Mengulas mengenai sekumpulan lelaki yang disyaki menyerang dan memukul pemandu terbabit, Mazlan berkata pemandu itu perlu membuat laporan polis terlebih dahulu.

“Kita akan jalankan siasatan sebaik sahaja menerima laporan berkenaan,” katanya.

Kejadian malam tadi dipercayai berpunca daripada tindakan pemandu bas berkenaan cuba mengelak melanggar sebuah motosikal beberapa kilometer sebelum persimpangan lampu isyarat AU2 Keramat.

Namun, dalam usahanya untuk mengelak motosikal itu, bas berkenaan melanggar bucu sebuah gerai burger di tepi jalan.

Berdasarkan cerita seorang saksi di Facebook, pemandu bas berkenaan kemudian berhenti di lokasi kejadian untuk memeriksa kerosakan gerai burger terbabit dan keadaan seorang wanita dan bayinya.

Bagaimanapun, dia kemudian melihat pemilik gerai berkenaan bersama beberapa lagi lelaki lain berlari menuju ke arahnya menyebabkan dia kemudian lari meninggalkan lokasi berkenaan denganmemandu bas Rapid KL.

Sementara pemilik gerai burger dan rakan-rakannya mengejar dengan motosikal.

Pemilik gerai burger itu merakamkan kejadian mengejar bas terbabit dan memuatnaik video itu di laman media sosial.

Dalam cubaannya untuk melarikan diri, pemandu bas berkenaan memandu dengan berbahaya, sebelum merempuh tujuh kenderaan sepanjang Jalan Ampang sebelum berhenti di Persimpangan Jalan Ampang-MRR2.

Pemandu bas kemudian bertindak meninggalkan bas terbabit dan melarikan diri sebelum berjaya ditahan oleh pengguna jalan raya yang kemudian turut bertindak agresif memukul pemandu bas terbabit.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");