Jenayah

Pemilik Kereta Akan Diberi Pampasan – Rapid KL

KUALA LUMPUR: Semua pemilik kenderaan yang mengalami kerosakan selepas dirempuh sebuah bas Rapid KL yang dipandu secara melulu dalam kejadian di Jalan Ampang di sini, malam tadi, akan diberikan pampasan.

Ketua Pegawai Operasi Rapid KL, Shamsul Rizal Mohd Yusof, berkata semua pemilik kenderaan terbabit boleh menghubungi talian bantuan 0378852585 untuk menuntut pampasan.

“Pemilik kenderaan perlu melalui beberapa prosedur terlebih dahulu bagi membolehkan mereka menuntut pampasan termasuklah membuat laporan polis.

“Kita akan beri kerjasama kepada pihak berkuasa untuk membantu siasatan berhubung insiden itu,” katanya pada sidang akhbar di Depot Rapid KL Maluri, di sini, awal pagi tadi lapor Berita Harian.

Katanya, pusat operasi Rapid KL menerima maklumat awal mengenai kejadian itu pada jam 8.30 malam dan ketika kejadian, bas terbabit sedang beroperasi untuk laluan dari Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Taman Datuk Keramat ke Ampang Point.

“Berdasarkan maklumat awal yang kami terima, kejadian itu tidak membabitkan sebarang kematian.

“Kita memohon maaf atas apa yang berlaku dan buat masa ini kita masih belum ada maklumat lengkap dan punca sebenar kejadian itu,” katanya.

Shamsul Rizal berkata, semakan pihaknya mendapati pemandu bas terbabit mempunyai rekod prestasi baik sepanjang dua tahun perkhidmatannya bersama Rapid KL.

“Beliau kini sedang menerima rawatan di Hospital Ampang akibat kecederaan yang dialaminya,” katanya.

Ketika ditanya sama ada bas berkenaan berkemungkinan mengalami sebarang masalah teknikal, Shamsul berkata pihaknya belum berpeluang untuk memeriksa bas berkenaan yang kini berada di Balai Polis Pandan Indah.

“Setiap bas akan diperiksa terlebih dahulu bagi memastikan ia berada dalam keadaan yang baik sebelum memulakan perjalanan.

“Pemandu itu pula bertugas secara syif berterusan hari ini (semalam), ada kemungkinan dia kepenatan,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam tadi, sekurang-kurangnya empat orang cedera dan tujuh buah kereta mengalami kerosakan dilanggar bas Rapid KL terbabit.

Pemandu bas berusia 32 tahun itu mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di Hospital Ampang kerana mengalami kecederaan di kepala.

Ketua Jabatan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata pemandu itu akan ditahan bagi membantu siasatan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");