Berita Hari Ini

‘Perjanjian Dengan Geely Memacu Proton Masuk Ke Pasaran China’

Dengan termeterainya perjanjian usaha sama antara Proton dan Geely, maka ia menandakan potensi kereta nasional itu memasuki pasaran China.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyelesaikan bahagian pertama lawatan sulungnya ke China di Hangzhou selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Proton Holdings dan Zhejiang Geely Holding.

Perjanjian itu juga membolehkan Proton memanfaatkan teknologi tenaga baru Geely Auto dan menggunakan platform teknologi terasnya.

Mahathir, yang juga merupakan pengasas Proton, projek kereta nasional pertama yang ditubuhkan pada tahun 1983 ketika menjadi perdana menteri kali pertama, mengalu-alukan potensi kemasukan ke pasaran China.

“Melihat apa yang Geely lakukan, saya fikir mereka mempunyai keupayaan untuk menghasilkan kereta elektrik bersama Proton.

“Saya percaya ia mencukupi untuk pasaran Asean dan mungkin pasaran lain,” kata Mahathir.

PM berlepas ke Shanghai dengan kereta api laju

Majlis menandatangani perjanjian antara Pengarah Urusan DRB-HICOM Datuk Seri Syed Faisal Albar dan Presiden Geely Holding Group, An Cong Hui itu turut dihadiri oleh Pengerusi Geely Holding Group, Liu Shufu.

Menteri Industri Utama Teresa Kok, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking dan Menteri Besar Perak, Ahmad Faisal Azumu antara yang hadir majlis tersebut.

Sebelum menandatangani perjanjian, Mahathir melawat Geely Auto Experience Centre, yang mempamerkan model kereta hibrid terbaru oleh Geely.

Dr Mahathir juga berpeluang memandu uji kereta di pusat itu.

Proton dijangka melancarkan kenderaan SUV yang pertama pada suku keempat tahun ini.

Perdana menteri bertemu dengan kakitangan Proton di Geely dalam sesi tertutup sebelum berlepas ke Shanghai menaiki kereta api laju.

Mengunjungi ibu pejabat Alibaba

Sebelum ke Geely, delegasi perdana menteri melawat Alibaba. Julai lalu, pengasas Alibaba, Jack Ma mengunjungi Mahathir di Putrajaya selepas PRU14 dan mengundang beliau melawat ibu pejabat Alibaba di Hangzhou.

Dalam taklimat media, Mahathir menyuarakan minatnya terhadap kepakaran Alibaba sebagai peneraju utama teknologi untuk manfaat negara.

“Saya ingin mengucapkan tahniah (kepada Alibaba) dan lebih daripada itu, saya mahu memanfaatkan idea inovatif kamu supaya Malaysia juga boleh mendapat faedah daripada teknologi moden ini.

“Anda telah mengusahakan sistem penghantaran untuk mempercepat akses kepada maklumat, data dan semua perkara ini. Saya fikir ia akan sepenuhnya menjana daya tenaga yang ada dalam teknologi moden,” katanya.

Perdana menteri juga telah mengadakan perbincangan tertutup dengan eksekutif Alibaba. Beliau disertai oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah dan Duta Besar China ke Malaysia Bai Tian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");