Berita Hari Ini

Permohonan Jual Equanimity Didengar Esok

KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan tiga lagi mengemukakan permohonan di Mahkamah Admiraliti bagi mendapatkan perintah untuk menjual kapal layar mewah, Equanimity dengan segera.

Kes akan disebut di Mahkamah Admiraliti esok di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Khadijah Idris.

Berdasarkan writ dan notis permohonan, 1MDB dan dua syarikat subsidiari iaitu Global Investment Limited serta Energy Holdings Limited selain Kerajaan Malaysia sebagai plaintif menamakan pemilik kapal atau Equanimity dari Cayman Islands sebagai defendan.

Permohonan itu difailkan melalui Tetuan Joseph & Partners pada 6 Ogos lalu.

Plaintif memohon deklarasi bahawa 1MDB adalah pemilik berkepentingan dan diberi kuasa terhadap kapal lapor Berita Harian.

Selain perintah menjual kapal layar itu, plaintif memohon perintah bahawa pembahagian hasil jualan kapal itu diserahkan kepada mereka, selepas pemilikan itu dibuktikan.

Plaintif juga memohon perintah kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Menurut notis permohonan itu, kapal layar itu akan dijual oleh Sherif (pegawai mahkamah) melalui tender awam atau perjanjian sulit sekiranya ada menerima tawaran mengikut nilai pasaran atau lebih lagi.

Jualan kapal melalui tender awam itu perlu memenuhi terma dan syarat Sherif atau mahkamah serta bebas daripada sebarang kos.

Pembelian kapal itu perlu dibayar kepada Sherif dalam mata wang dolar Amerika Syarikat, Euro atau Ringgit Malaysia.

Hasil jualan itu perlu dimasukkan ke dalam akaun bank tempatan yang diluluskan oleh akauntan am dalam tempoh dua minggu selepas pembayaran diterima bagi mendapatkan faedah komersial.

Dan sekiranya, penjualan dilakukan dalam mata wang asing, ia akan diletakkan dalam akaun yang mempunyai faedah mengikut budi bicara Sherif.

Sherif atau plaintif diberi kuasa untuk membuat pembayaran kepada kakitangan kapal layar itu melalui wang hasil penjualan kapal itu.

Berdasarkan notis itu juga, Sherif diberi kuasa untuk menerima tawaran harga yang lebih tinggi sama ada melalui tender awam atau perjanjian sulit, mengikut pertimbangan yang wajar dalam menentukan pembeli yang sesuai.

Plaintif diberikan kebebasan untuk melantik pengurus, jurunilai, pengawal keselamatan, broker atau ejen yang sesuai bagi membantunya dalam penjualan kapal dan lain-lain perkara yang berbangkit.

Selain itu plaintif diberi kebebasan untuk meletakkan terma penjualan, syarat permohonan, dan kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pada 7 Ogos lalu, Equanimity berlabuh di Boustead Cruise Centre di sini, selepas berlayar hampir 20 jam dari Batam, Indonesia.

NSTP sebelum ini melaporkan kerajaan Indonesia menyerahkan kapal itu kepada Kerajaan Malaysia atas permintaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika kunjungannya ke negara berkenaan pada Jun lalu.

Pada Februari lalu, kapal itu dirampas dan disita pihak berkuasa Indonesia atas permintaan Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat bagi membantu siasatan berhubung skandal penyelewengan 1MDB.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");