Perak Hari Ini

Permohonan KPPSM Akan Dikaji

IPOH: Peranan penghulu di seluruh negeri Perak amat penting sebagai penghubung antara rakyat dan kerajaan negeri.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya juga menyambut baik cadangan Kesatuan Penghulu Penggawa Semenanjung Malaysia (KPPSM) Cawangan Negeri dalam menjadikan fungsi penghulu pengawa agar lebih komprehensif dan relevan dengan suasana masa kini.

Selain itu, beliau juga akan mengkaji semula permohonan-permohonan yang dibuat berhubung penambahbaikkan perkhidmatan dan kebajikan ahli.

Ujarnya, antara permohonan utama yang akan dikaji ialah melibatkan cadangan menaikkan elaun keraian penghulu dan juga elaun bayaran bil telefon mereka.

Jelas Ahmad faizal, kesemua perkara tersebut perlu dirujuk terlebih dahulu dengan pihak Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri bagi melihat kedudukan kewangan negeri buat masa ini.

“Saya berjanji akan berbincang perkara ini dan jika kita mampu, kita akan berikan. Namun, seperti yang disebutkan, untuk membuat sesuati keputusan melibatkan kewangan, kajian terhadap implikasi kedudukan kewangan negeri juga perlu diambil.

“Kita tidak boleh berikan hanya kepada satu pihak sahaja. Ia perlu meliputi semua. Kalau hendak naikkan elaun telefon penghulu misanya, kita juga kena lihat dengan pihak lain seperti Pegawai Daerah dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan KPPSM Negeri Perak Ke-43 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Jumaat.

Sementara itu, ketika diminta mengulas tentang nasib pejabat penghulu di Taiping dan Mukim Sayong, Kuala Kangsar yang dilaporkan kini terpaksa menumpang di Pejabat Daerah masing-masing, Menteri Besar berkata beliau akan segera menghubungi pegawai-pegawai daerah terlibat bagi meminta menyegerakan pembinaan pejabat penghulu yang baharu.

Pengerusi KPPSM Negeri, Sharuddin Harun ketika berucap pada majlis turut mengusulkan agar kerajaan negeri menempatkan Penghulu Gred 36 di semua daerah.

Beliau juga memohon agar kerajaan negeri turut dapat menyediakan peruntukan ataupun bantuan biasiswa khas bagi mana-mana penghulu yang ingin melanjutkan pelajaran secara pengajian jarak jauh.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");